Ibu tiga anak didakwa perdaya isteri Along Cham

Ibu tiga anak didakwa perdaya isteri Along Cham

cabul
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, Bangi dekat sini terhadap pertuduhan menipu isteri pelawak, Along Cham iaitu Afreena Suhaimi melibatkan wang berjumlah RM105,380, Disember tahun lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Nursyafiqah Hermansah, 28, yang bekerja sebagai peniaga didakwa telah memperdayakan Afreena bahawa tertuduh boleh menjamin keluar suaminya, Along Cham dan menurunkan seksyen pertuduhan dihadapi oleh pelawak tersebut.

Pada ketika itu, Along Cham atau nama sebenarnya, Muhammad Nizamudin Ahmad didakwa di Mahkamah Majistret, Sepang atas tuduhan memiliki dadah kanabis dan dituduh mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara seumur hidup.

Tindakan tertuduh itu telah menyebabkan Afreena membayar wang berjumlah RM105,380 melalui 26 transaksi kepada lima akaun bank berbeza.

Nursyafiqah didakwa melakukan perbuatan itu antara pukul 6.06 petang, 22 Disember 2024 serta pukul 6.06 petang dan pukul 1.24 petang, 14 Januari 2025 di Petronas Bangi Getaway di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Anis Farhah Ahmad Hilmi mencadangkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan atas alasan mempunyai tanggungan tiga anak dan hanya mempunyai pendapatan RM1,000 sebulan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Pada 28 Januari lalu, Along Cham dilaporkan mendakwa Afreena menyeleweng duit sumbangan orang ramai mencecah ratusan ribu ringgit yang sepatutnya digunakan untuk membantunya sejak ditahan di Penjara Sungai Buloh.

Afreena tampil membuat laporan polis dengan mendakwa ditipu seorang individu yang dikenalinya sebagai Ika melibatkan wang berjumlah RM95,180. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya