Empat individu masuk bilik sebelum polis serbu – Eda Ezrin - Utusan Malaysia

Empat individu masuk bilik sebelum polis serbu – Eda Ezrin

TRAK yang membawa enam rakyat Malaysia untuk dibicarakan di Mahkamah Wilayah Narathiwat, Thailand atas dua pertuduhan mengambil dadah dan memiliki pil kuda. – UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT, THAILAND: Mah­kamah Wilayah Narathiwat menetapkan keputusan kes dadah melibatkan penyanyi lagu Bea Sobar Bea, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, atau Eda Ezrin dan suami serta empat lagi rakannya pada 6 Mac ini.

Keputusan itu dibuat hakim selepas mendengar keterangan semua tertuduh dan saksi pendakwaan sepanjang prosiding perbi­caraan yang berlangsung tiga hari iaitu pada 11, 13 dan 14 Februari lalu.

Kelmarin, suami penyanyi ter­babit, Mohd. Affendi Ahmad, 35, selesai memberikan keterangan bersama dua lagi tertuduh, Mohamad Alif Deraman, 33, dan Nur Aida Mamat, 33.

Semalam, Eda Ezrin bersama dua lagi rakannya iaitu Erdieka Mohd. Noor, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, selesai memberikan kete­rangan. Penyanyi wanita sohor Kelantan menjadi individu pertama yang memberi keterangan selama satu jam berkait kes ber­kenaan.

Perbicaraan tersebut turut disaksikan oleh semua ahli keluarga tertuduh.

Sementara itu, Eda Ezrin semasa memberi keterangan dengan bantuan jurubahasa bebas yang dilantik mahkamah berkata, sebelum polis melakukan serbuan, empat individu dikenali sebagai ‘Nabila’, ‘Mek Jue’, ‘Mek Da’ dan ‘Sirik’ masuk ke dalam biliknya.

Menurutnya, ‘Nabila’ dan ‘Mek Ju’ masuk ke biliknya kira-kira pukul 3 pagi.

“Selepas berbual, ‘Mek Ju’ masuk ke dalam bilik air kira-kira 15 minit. Saya lihat ‘Mek Ju’ ada bawa beg galas warna biru masuk ke dalam bilik air.

“Selepas 15 minit kemudian, ‘Nabila’ dan ‘Mek Ju’ telah keluar dan meninggalkan bilik berkenaan,” katanya semasa menjawab soalan peguam.

Eda Ezrin berkata, selepas itu, dua lagi individu iaitu ‘Sirik’ dan ‘Mek Da’ pula masuk ke dalam biliknya.

“Kemudian, ‘Mek Da’ terus masuk ke dalam bilik air sementara ‘Sirik’ berbual-bual dengan saya. Selepas ‘Mek Da’ keluar dari bilik air, mereka berdua meninggalkan bilik penginapan.

“Lebih kurang 10 minit kemudian, polis melakukan serbuan,” katanya.

Eda Ezrin dan suaminya serta empat lagi rakan didakwa di Mahkamah Wilayah Narathiwat atas dua pertuduhan mengambil dadah dan memiliki 6,059 biji pil kuda.

Eda Ezrin dan Mohd. Affendi bersama empat lagi tertuduh iaitu Erdieka, Mohamad Alif, Nur Aida serta Zuhaira mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah.

Bagaimanapun mereka tidak mengaku bersalah atas tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda di sebuah hotel di Sungai Golok dekat sini, selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan sendiri oleh Hakim, Yuan Khao Kham.

Sementara itu, Erdieka dan Zuhaira mengaku bersalah atas dua pertuduhan memasuki Thailand secara haram dan tiada dokumen perjalanan atau pasport sah untuk berada di negara ini.

Untuk rekod, mahkamah melarang media menulis nama hakim perbicaraan, saksi dan pendakwa raya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya