KLANG: Perbuatan keji seorang datuk melakukan amang seksual terhadap cucu angkat perempuannya, Sabtu lalu menerima balasan penjara enam tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hakim Noridah Adam menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh yang berusia 67 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Pelayan restoran yang berbaju Melayu kuning itu turut mengakui semua fakta kes dikemukakan pihak pendakwaan.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun dengan cara menjilat kemaluan bagi tujuan seksual.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di sekitar Kuala Selangor, kira-kira pukul 10 pagi, 1 Februari lalu. Justeru, pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur ‘Ayuni Jamri memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor usia mangsa yang hanya berusia 13 tahun ketika kejadian.
“Hubungan mereka juga amat rapat dan baik kerana dia (tertuduh) merupakan datuk angkat kepada mangsa. Dia sepatutnya menjaga mangsa tetapi mengkhianatinya dengan melakukan perbuatan terkutuk itu. Hukuman perlu menjadi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat,” katanya.
Selain itu, pendakwaan memohon perintah mahkamah supaya tertuduh menjalani sesi kaunseling di dalam penjara dan pengawasan polis selepas dibebaskan kelak.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman diringankan kerana mempunyai tanggungan dua anak yang masih bersekolah.
Noridah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara enam tahun bermula tarikh tangkapan dan sebatan selain membenarkan semua permohonan pendakwaan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seorang lelaki warga emas antara dua individu diberkas polis bagi membantu siasatan kes itu.
Laporan mengenai kejadian itu dibuat datuk saudara mangsa pukul 7.38 malam, Sabtu lalu selepas remaja perempuan itu mengadu kepadanya.
Dua suspek termasuk bapa saudara mangsa berusia 21 tahun ditahan dan siasatan lanjut mendapati mereka mempunyai hubungan persaudaraan. – UTUSAN