IPOH: Mahkamah Tinggi di sini, semalam diberitahu bahawa pembantu rumah yang dikatakan dirogol oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong sebenarnya memberi keterangan palsu.
Wanita berusia 24 tahun itu memberi keterangan palsu hanya kerana mahu pulang ke rumahnya di Indonesia.
Perkara itu dinyatakan sendiri oleh ‘mangsa’ kepada Pathurrahman, 58, yang merupakan seorang peguam beralamat di Sumbawa, Indonesia.
Menurut Pathurrahman yang juga saksi pembelaan tambahan pertama, wanita itu datang ke pejabatnya pada 20 Mei 2024 untuk mendapatkan nasihat undang-undang dan memaklumkan bahawa dia bekerja sebagai pembantu rumah Yong Choo Kiong.
Pathurrahman berkata, bekas pembantu rumah itu mempunyai kontrak kerja selama tiga tahun dan telah bekerja di rumah keluarga Yong Choo Kiong bermula 7 Mei 2019 dan sepatutnya tamat perkhidmatan pada Mei 2021.
Wanita itu bagaimanapun hendak menamatkan kontraknya dengan lebih awal, namun dihalang.
“Dia memberitahu saya telah membuat aduan terhadap seseorang bernama Yong Choo Kiong bahawa dia telah dirogol oleh lelaki itu. Dia juga telah memberi keterangan terhadap Yong Choo Kiong di mahkamah Malaysia.
“Wanita itu kemudian membuat pengakuan kepada saya bahawa dia telah memberi keterangan palsu kepada Yong Choo Kiong dan berhasrat menarik balik keterangan itu.
“Alasan dia membuat atau memberi keterangan palsu adalah kerana hendak pulang ke rumahnya di Indonesia,” kata peguam itu melalui penyataan bertulis yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Indonesia di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Wahab Mohamed.
Menurut Pathurrahman, dia kemudian telah menasihati wanita itu bahawa memberi keterangan palsu merupakan kesalahan serius dan perlu untuk menarik semula keterangan berkenaan.
“Saya menasihatinya bahawa adalah lebih baik bercakap benar daripada seseorang yang tidak bersalah disabitkan kesalahan secara tidak adil.
“Setelah mendengar nasihat saya, tanpa paksaan dan intimidasi, wanita itu bercadang menarik balik keterangan di Malaysia dan saya telah diarahkan untuk menyediakan satu surat penyataan berkaitan perkara itu,” katanya.
Tambahnya, wanita itu juga melahirkan rasa kesal dan memohon maaf atas keterangan yang pernah disampaikan di mahkamah di Malaysia dan memberitahu sebagai tidak benar.
Surat penyataan (pengakuan) bekas pembantu rumah itu yang disediakan oleh Pathurrahman pada 21 Mei 2024 dan disahkan oleh notari awam pada 22 Mei 2024 dibacakan pada prosiding semalam.
Pengakuan itu antara lain berbunyi: “Berdasarkan hal-hal yang terurai di atas, dengan kesedaran penuh dan tanpa paksaan atau intimidasi daripada pihak manapun, (saya) dengan ini mencabut keterangan yang pernah saya sampaikan di pengadilan Mahkamah Sesyen Malaysia tentang pemerkosaan yang dilakukan oleh Yong Choo Kiong sekali gus menyatakan segala keterangan yang saya berikan tidak berlaku dan tidak dapat dipergunakan untuk menuntut atau melawan Yong Choo Kiong”.
Mahkamah kemudian menetapkan 7 Mac depan untuk menyediakan pandangan berhubung bukti baharu yang dikemukakan pihak pembelaan di mana laporan itu akan dihantar ke Mahkamah Persekutuan untuk digunakan ketika rayuan. – UTUSAN