JOHOR BAHRU: Bekas suami wanita yang dibelasah sehingga koma mengemukakan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 10 tahun yang dikenakan ke atasnya pada 9 Disember 2024 di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.
Hakim Datuk Abu Bakar Katar menetapkan 25 Februari ini bagi membuat keputusan permohonan yang dibuat Rosmaini Abd. Raof, 42, sementara menunggu rayuan terhadap sabitan dan hukuman didengar dan diputuskan di Mahkamah Tinggi.
Abu Bakar menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah Timbalan Pendakwa Raya Juanita Mohd. Said dan Siti Fatimah Yahya dan peguam, Kamal Hisham Jaafar dan Muhammad Nor Tamrin yang mewakili Rosmaini.
Kamal Hisham berhujah wujudnya keadaan istimewa atau khas supaya perintah penggantungan pelaksanaan hukuman penjara itu diberikan terhadap pemohon.
“Keadaan istimewa itu adalah kesalahan pertama pemohon selain terdapat persoalan undang-undang yang rumit, iaitu percanggahan antara akuan bersumpah dan laporan polis oleh saksi pendakwaan yang perlu diputuskan mahkamah.
“Isu undang-undang ketiga adalah ketika perbicaraan kes ini di Mahkamah Sesyen tidak ada seorang pun saksi mata yang melihat kejadian itu dikemukakan pihak pendakwaan,” katanya.
Namun, Juanita menyanggah hujahpembelaan bahawa keadaan itu bukannya istimewa atau khas, sebaliknya adalah keadaan biasa yang sudah diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen sebelum ini.
“Mangsa (Jahidah Nordin) dalam kes ini melahirkan bayinya dalam keadaan koma dan sehingga kini masih terlantar akibat kecederaan parah yang dialami. Kes ini telah mendapat perhatian dan menggoncang ketenteraman masyarakat dan ia masih diikuti orang ramai hingga kini.
“Jika mahkamah menimbangkan ia kesalahan pertama pemohon tanpa melihat keseriusan kes ini, dibimbangi ia akan menyebabkan kemarahan masyarakat, sekali gus merendahkan keyakinan mereka terhadap sistem kehakiman kita,” hujahnya.
Rosmaini yang bergari diiringi pegawai penjara kelihatan tenang ketika hadir ke mahkamah bagi mendengar permohonannya. – UTUSAN