ALOR GAJAH: Seorang bekas pegawai kanan di Jabatan Ketua Menteri Melaka direman lima hari bagi membantu siasatan kerana disyaki menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi, tahun lalu.
Perintah reman sehingga 8 Februari ini dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman terhadap suspek wanita berusia 42 tahun itu.
Suspek yang memakai pakaian lokap berwarna jingga tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di sini, kira-kira pukul 9.15 pagi tadi dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Suspek yang masih bujang ditahan pukul 4.50 petang semalam selepas hadir ke Pejabat SPRM Melaka untuk memberi keterangan.
Menurut sumber, suspek yang pernah bertugas sebagai Ketua Penolong Setiausaha di jabatan berkenaan disyaki melakukan kesalahan dengan meminta sumbangan bagi Program Hari Keluarga/Sasaran Kerja Tahunan berjumlah RM5,000 sedangkan program itu tidak wujud dan wang tersebut telah digunakan untuk kegunaan peribadi.
Selain itu, suspek juga secara tidak jujur menggunakan wang sumbangan duit raya berjumlah RM600 yang sepatutnya diberikan kepada 30 orang petugas di bawah seliaannya untuk kegunaan diri sendiri.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan. – UTUSAN