Bantahan ibu, bapa Zayn Rayyan ditolak - Utusan Malaysia

Bantahan ibu, bapa Zayn Rayyan ditolak

ZAIM Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf ketika hadir di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya semalam bagi perbicaran kes pengabaian terhadap kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan. – UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Se­syen di sini semalam menolak bantahan awal yang dikemukakan oleh ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang mendakwa pertuduhan terhadap mereka adalah cacat.

Hakim Dr. Syahliza Warnoh memutuskan demikian setelah mendapati pertuduhan yang dihadapi pasangan suami isteri, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira Abdul Manaf, 30, tidak cacat dan selaras mengikut peruntukan undang-undang.

“Setelah meneliti hujahan dikemukakan pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati pertuduhan dalam kes ini tidak memprejudis tertuduh dan mereka masih boleh mengemukakan pembelaan.

“Oleh itu, bantahan awal pem­belaan ditolak dan perbicaraan kes akan bermula pukul 2 petang ini, (semalam)” katanya.

Terdahulu, peguam bela, Haresh Mahadevan yang mewakili pasangan itu membangkitkan bantahan awal mengenai pertuduhan yang dihadapi anak guamnya yang didakwa cacat kerana tidak memperincikan kesalahan yang dilakukan anak-anak guamnya di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.

“Bukti dan cara pengabaian tidak diperincikan dalam pertuduhan. Kita tidak boleh menafikan bahawa cara pengabaian adalah satu aspek penting untuk membolehkan tertuduh membela diri.

“Kita tidak boleh semudahnya menggunakan istilah ‘mengabaikan’ atau ‘kemungkinan menyebabkan pengabaian’.

“Tindakan seperti membenarkan kanak-kanak keluar dari rumah seorang diri atau membiarkan kanak-kanak itu di satu tempat tanpa pengawasan orang dewasa adalah perincian (yang sepatutnya ada) dalam kes-kes pengabaian,” katanya.

Mendengar perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz memaklumkan pertuduhan tersebut tidak cacat kerana ia tidak memerlukan butiran terperinci.

“Pertuduhan itu akan dibuktikan melalui keterangan saksi-saksi pendakwaan di mahkamah. Pada peringkat ini, tidak perlu memasukkan cara pengabaian dilakukan dalam pertuduhan,” katanya.

Perbicaraan kes berkenaan bermula pada semalam sehingga Jumaat ini sebelum bersambung pada 17 hingga 21 Februari. Bagi bulan hadapan, perbicaraan di­tetapkan selama seminggu bermula 10 Mac.

Pada 21 Januari lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira memfailkan permohonan agar mereka dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme itu. Mahkamah bagaimana menolak permohonan tersebut.

Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira didakwa dan mengaku tidak bersalah mengabaikan anak mereka.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan 9.55 malam, 6 Disember 2023, di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini.Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya