Saman selesai, Amirudin terima permohonan maaf Sanusi

Saman selesai, Amirudin terima permohonan maaf Sanusi

Saman
AMIRUDIN Shari dan Muhammad Sanusi Md. Nor meninggalkan pekarangann Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah selepas menghadiri prosiding pengurusan kes berhubung tindakan saman antara mereka, di Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tuntutan saman berjumlah RM10 juta yang difailkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor selesai di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Penyelesaian itu dicapai apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu membuat permohonan maaf secara terbuka di dalam kamar mahkamah sebagai salah satu terma penyelesaian kes saman berhubung kenyataan berunsur fitnah mengenai Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).

Hakim Rozi Bainun memutuskan demikian selepas persetujuan antara kedua-dua pihak dan menerima surat permohonan maaf oleh Muhammad Sanusi kepada Amirudin sebagai plaintif.

“Kes selesai dan ditutup sepenuhnya,” tegasnya.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan permohonan maaf Mohamad Sanusi disiarkan kepada umum dan hanya direkodkan di mahkamah sahaja.

Terdahulu, Peguam Mohd. Haijan Omar mewakili plaintif memaklumkan hari ini pihak-pihak mencapai kata putus serta bersetuju memasukkan satu penghakiman persetujuan kepada mahkamah.

Persetujuan itu berdasarkan terma permohonan maaf secara terbuka di mahkamah pada tarikh penghakiman persetujuan direkodkan pada hari ini.

“Defendan juga memberi akujanji tidak akan menerbitkan, membantu, mengulangi dan menyebabkan diterbitkan kata-kata seakannya pada masa depan. Persetujuan dan terma atas penyelesaian penuh dan muktamad antara plaintif dan defendan. Selain itu, tiada kos dalam penghakiman persetujuan ini,” katanya.

Sementara itu, peguam Wan Rohimi Wan Daud dan Yusfarizal Yusof mewakili defendan tidak membantah mengenainya.

Amirudin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor pada 30 Ogos 2023 memfailkan notis tuntutan kepada Muhammad Sanusi berhubung fitnah dilakukan beliau berkenaan pemberian tanah kepada sebuah syarikat swasta.

Menurut ADUN Sungai Tua itu, Muhammad Sanusi dituntut menarik balik kenyataan fitnahnya, membuat permohonan maaf dan menjamin fitnah tidak berulang selain ganti rugi RM100 juta.

“Saya menuntut supaya Muhammad Sanusi melakukan perkara itu dalam tempoh 48 jam. Beliau juga perlu membayar ganti rugi RM10 juta atas tindakan memfitnah dan mengeluarkan berita palsu yang menjejaskan institusi Menteri Besar Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor,” katanya.

Sama tersebut dikemukakan apabila Muhammad Sanusi mendakwa Amirudin mempunyai skandal melibatkan Pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan dengan memfitnahnya menyerahkan tanah seluas 243 hektar di Selangor kepada tokoh konglomerat itu.

Ia termasuk tuduhan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) bakal mengalami kerugian sehingga RM180 juta jika Vincent Tan diberikan projek sungai bernilai RM10 bilion.

Fitnah tersebut dinyatakan beliau ketika menyampaikan ucapan pada 2 Ogos di Jitra, Kedah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN