KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memfailkan notis usul bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berkait Titah Adendum.
Dalam kes sivil, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum mereka boleh meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan AGC, tindakan untuk memfailkan notis usul itu bertujuan untuk memastikan semua hak yang diperuntukkan oleh undang-undang dapat dilaksanakan sepenuhnya.
“Keputusan untuk memfailkan usul ini adalah berasaskan kepada beberapa premis penting iaitu percanggahan dalam tafsiran undang-undang dan kepentingan isu undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Jelas AGC, terdapat percanggahan pandangan antara keputusan Mahkamah Tinggi dan penghakiman majoriti serta minoriti di Mahkamah Rayuan.
“Perkara ini menimbulkan keperluan untuk mendapatkan kepastian dan undang-undang yang jelas daripada Mahkamah Persekutuan,” katanya.
AGC turut menyatakan, isu yang dibangkitkan melibatkan persoalan undang-undang yang signifikan serta mempunyai kepentingan awam wajar dibicarakan dan diputuskan oleh mahkamah tertinggi negara.
“AGC percaya bahawa langkah ini bukan sahaja penting untuk memastikan keadilan dalam kes ini, tetapi juga bagi menegakkan prinsip keluhuran perlembagaan dan undang-undang serta memperjelaskan tafsiran undang-undang bagi manfaat semua pihak,” katanya.
Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran kepada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memulakan semakan kehakiman berhubung kewujudan Titah Adendum tersebut.
Dalam keputusan 2-1, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan semakan kehakiman selepas mendapati tiada mana-mana responden yang dinamakan dalam permohonan itu memfailkan sebarang afidavit menafikan kewujudan perintah tambahan itu.
Sementara itu pada 20 Januari lalu, AGC telah memfailkan permohonan larangan bersuara (gag order) bagi menghalang mana-mana pihak termasuk media untuk memperkatakan mengenai Titah Adendum yang menyentuh mengenai penahanan bekas Perdana Menteri itu di rumahnya sehingga habis hukuman penjara.
Permohonan gag order tersebut telah difailkan pada hari sama, pukul 7.45 malam melalui sistem e-Failing.
Pada 1 April 2024, Najib memfailkan semakan kehakiman antara lain mendakwa selain perintah pengurangan hukuman penjara dan pengurangan jumlah denda, terdapat perintah tambahan yang membenarkan beliau untuk menjalani hukuman yang dikurangkan kepada ‘tahanan di rumah’ dan bukannya di Penjara Kajang.
Menurut afidavit difailkan, bekas Perdana Menteri itu mendakwa menerima ‘maklumat yang sahih’ berhubung Titah Adendum pada 12 Februari lalu. – UTUSAN