1MDB: Saksi mengaku tambah fakta

1MDB: Saksi mengaku tambah fakta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pegawai Kanan Bahagian Penyiasatan Tatakelola Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah (SPRM) mengakui membuat penambahan dalam kete­rangannya pada perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berbanding keterangannya pada kes penyelewengan dana SRC International.

Fikri Ab. Rahim yang merupakan bekas Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLFOP) SPRM merupakan saksi pembe­laan dalam kedua-dua kes yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam kes SRC International, Fikri merupakan saksi pem­belaan ke-12 manakala dalam kes 1MDB, beliau merupakan saksi pembelaan kelapan.

Dia merupakan antara lima individu daripada SPRM dan Jabatan Peguam Negara yang pergi ke Arab Saudi antara 27 hingga 29 November 2015 untuk menemu ramah Putera Arab, Putera Saud Abdulaziz Majid Al-Saud (Putera Saud), individu yang dikatakan menandatangani surat derma Arab Saudi kepada Najib.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib: Apa yang awak katakan dalam SRC adalah sama dengan keterangan awak di sini (1MDB)?
Fikri: Ya.

Ahmad Akram: Tetapi kete­rangan awak di sini hari ini, ada penambahbaikan. Keterangan hari ini adalah ‘improvised version’ berbanding keterangan awak di SRC.
Fikri: Tak setuju. (Keterangan) hampir serupa tetapi bukan bulat-bulat sama.

Ahmad Akram: Tapi hari ini ada penambahbaikan berban­ding (keterangan) di SRC.
Fikri: Saya setuju ada tambah, ada penambahan tapi sama ada baik atau tidak saya tak tahu.

Ahmad Akram: Sebelum ini (di SRC), awak tak sebut pasal pasport diplomatik tetapi hari ini awak sebut pasal pasport diplomatik.
Fikri: Setuju.

Ahmad Akram: Setuju atau tidak, awak membuat penambahan sebab sudah ada keputusan dalam kes SRC dan awak sudah baca penghakiman hakim bicara (kes SRC) yang mengatakan ke­terangan awak tidak mencukupi, jadi hari ini awak tambah untuk ‘cover’ keterangan sebelum ini.
Fikri: Tidak, saya tak setuju.

Dalam penghakiman setebal 801 muka surat oleh Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) dalam kes SRC, hakim mendapati keterangan Fikri dan dua lagi saksi tidak cukup untuk menyatakan keterangan yang dirakam di Arab Saudi adalah kenyataan Putera Saud.

Hakim itu juga menyatakan keterangan saksi itu juga tidak menjelaskan hubungan antara Putera Arab itu dengan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low sehingga membolehkan Najib diberikan derma tersebut.

Pada sesi soal balas hari ini juga, Fikri menafikan bahawa rakaman percakapan yang dibuat di Istana Raja Abdullah di Riyadh itu sebenarnya telah disediakan lebih awal.

Ahmad Akram: Saya katakan, rakaman percakapan ini (Putera Saud) sebenarnya telah disediakan lebih awal, kemudiannya ‘copy, paste’ dalam format (SPRM) sebelum ditandatangani oleh seorang individu bernama Mohamad Abdullah Al Koman bagi pihak Putera Saud.
Fikri: Saya tak setuju.

Ahmad Akram: Rakaman ini setebal lima muka surat. Tadi awak juga cakap, Al Koman ini akan keluar masuk (dari bilik rakaman) untuk membuat panggilan kepada Putera Saud sebelum memberikan jawapan bagi pihak putera Arab itu. Jadi semua ini, dari awal sehingga habis, boleh selesai dalam 20 minit?

Fikri: Saya percaya Hafaz (pegawai perakam SPRM, Mohd. Hafaz Nazar) boleh melakukannya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 18 Februari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya