SABAK BERNAM: Sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah membabitkan seorang lelaki tempatan dan lapan warga Taiwan berdepan tali gantung apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis Eramin 5 dan ekstasi.
Tertuduh iaitu Low Kian Ming, 49, bersama lapan lagi iaitu Lee Chi-Nan, 29; Chou Chun Hao, 31; Liu Kuang-Hui, 31; Hong Sheng-Bao, 31; Tsenh Yi-Chia, 31; Lin Chung-Hsien, 32; Fang Ming-Che, 34 dan Chu Shao-Hsien, 42, mengangguk faham selepas dua pertuduhan dibacakan ke atas mereka.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Siti Hajar Ali.
Berdasarkan kedua-dua pertuduhan tersebut, mereka didakwa secara bersama-sama melakukan perbuatan sebagai persediaan bagi tujuan mengedar dadah berbahaya iaitu ekstasi dengan anggaran berat 183.7 kilogram (kg) dan Eramin 5 seberat kira-kira 306 kg.
Kesalahan itu dilakukan dekat No. 39, Jalan TIAJ 3, Taman Industri Alam Jaya 2, Bandar Puncak Alam pada 16 Januari lalu, justeru mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1) (c) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, kesemua sembilan tertuduh itu berdepan berdepan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak lebih daripada 12 sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati di bawah Seksyen 39B(2) ADB 1952.
Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 21 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyediaan laporan kimia.
Terdahulu, polis dilaporkan membongkar kegiatan sebuah makmal pemprosesan dadah yang dipercayai didalangi sindiket antarabangsa menerusi tiga serbuan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, dalam serbuan pertama di sebuah gudang di Puncak Alam, polis menahan lapan suspek lelaki warganegara asing, yang dipercayai sedang mengendalikan kerja-kerja pemprosesan dadah untuk diedar di dalam dan luar negara.
Pemeriksaan dalam premis tersebut membawa kepada penemuan dadah jenis Erimin 5 dianggarkan 306 kg, ekstasi 183.7 kg, peralatan memproses dadah dan pelbagai jenis bahan kimia dengan keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM118 juta yang dipercayai diperoleh daripada negara jiran. – UTUSAN