PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak permohonan pasukan pembelaan ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu keputusan permohonan gugur diputuskan.
Hakim Dr. Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas peguam bela, Haresh Mahadevan yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon penangguhan perbicaraan yang dijadualkan bermula Isnin depan sehingga permohonan itu dilupuskan.
“Pada prosiding lalu, mahkamah telah meminta pihak pendakwaan dan pembelaan memaklumkan status notis usul itu hari ini.
“Disebabkan permohonan tersebut masih belum didengar di Mahkamah Tinggi, maka mahkamah akan meneruskan dengan perbicaraan pada bulan hadapan,” katanya.
Terdahulu, Haresh memaklumkan permohonan anak guamnya untuk membatalkan pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka masih belum didengar.
Katanya, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menerima salinan termeterai notis itu dan mengesahkan pengurusan kes akan dibuat di hadapan Timbalan Pendaftar pada Selasa minggu hadapan.
“Kami mohon tarikh-tarikh bicara yang ditetapkan pada Februari dan Mac hadapan dilapangkan sementara menunggu pelupusan permohonan notis usul terbabit,” katanya.
Pada 21 Januari lalu, prosiding terdahulu, ibu bapa kepada Zayn Rayyan iaitu Zaim Ikhwan Zahari, dan Ismanira Abdul Manaf memfailkan permohonan agar mereka dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme itu.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian mengesahkan pihak pendakwaan telah menerima salinan permohonan notis usul yang dikemukakan kedua-dua tertuduh di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
“Jumaat lalu, pihak pendakwaan telah menerima salinan permohonan menerusi emel daripada pihak pembelaan. Saya percaya telah ditetapkan sebutan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 4 Februari ini.
“Susulan itu, pihak pendakwaan akan memfailkan afidavit berhubung permohonan berkenaan di Mahkamah Tinggi. Dengan itu, mohon arahan lanjut daripada mahkamah berhubung permohonan penangguhan prosiding oleh pembelaan dan pihak pendakwaan juga ingin memaklumkan, kami bersedia untuk perbicaraan,” katanya.
Berdasarkan notis usul terbabit, pasangan itu memohon kes berkenaan dibatalkan dengan alasan pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka tidak mendedahkan sebarang kesalahan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.
Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira didakwa dan mengaku tidak bersalah mengabaikan anak mereka.
Mengikut pertuduhan, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, pasangan tersebut didakwa bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan 9.55 malam, 6 Disember 2023, di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN