Pengurus tipu tuntutan gaji pengawal keselamatan didenda

Pengurus tipu tuntutan gaji pengawal keselamatan didenda RM9,000

TERTUDUH diiringi pegawai SPRM ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pengurus sebuah syarikat kawalan keselamatan didenda RM9,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana menggunakan dokumen palsu bagi tujuan tuntutan bayaran jam bekerja pengawal keselamatan, enam tahun lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan membuat ketetapan itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Zainal Abidin Za’abah, 56, sejurus tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kesemua kertas pertuduhan, tertuduh didapati menggunakan sebagai tulen satu dokumen iaitu Laporan Pengesahan Pelaksanaan Kunci Jam Watchman Clock Perkhidmatan Kawalan Keselamatan di sekolah atau institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia bagi Zon Alor Gajah 11.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Pendidikan Daerah Alor Gajah, Jalan Kolam Air dalam daerah Alor Gajah bagi tempoh dua minggu untuk setiap tarikh 1 hingga 15 setiap bulan pada Mei, Jun dan Ogos 2019.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah mengarahkan seorang wanita yang bertugas sebagai pegawai ronda syarikat untuk memperbaiki semula kertas kunci jam dengan mengunci semula jam yang tidak diketik oleh pengawal keselamatan pada setiap hujung bulan sepanjang 2019.

Tertuduh kemudian menggunakan sebagai tulen kertas-kertas kunci jam yang telah dipalsukan itu untuk menuntut bayaran bagi kerja-kerja perkhidmatan kawalan keselamatan yang mana jika gagal berbuat demikian pihak syarikat akan menolak gaji sebanyak RM5 bagi setiap titik pemeriksaan sebagai denda.

Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fatin Nur Athirah Zainudin memohon hukuman setimpal dengan alasan terlalu banyak kes melibatkan butiran palsu.

Peguam Mohd. Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan merayu hukuman denda rendah kerana anak guamnya mempunyai enam anak dan yang bongsu berusia enam bulan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,000 bagi setiap pertuduhan atau penjara tiga bulan jika gagal bayar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya