KLANG: Seorang pekerja penghantar barang merayu Hakim Mahkamah Majistret mengenakan jaminan yang rendah selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan penipuan sebanyak RM36,050, tahun lalu.
“Minta kurang jaminan, bapa saya langsung tiada duit Yang Arif,” kata tertuduh, Muhammad Radzmi Azman.
Terdahulu, Muhammad Radzi, 32, membuat pengakuan demikian selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abd. Rasid.
Berdasarkan pertuduhan, bapa kepada dua oranng anak itu didakwa dengan curang memperdayakan seorang lelaki berusia 39 tahun untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM36,050 yang dimasukkan ke dalam akaun bank tertuduh.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah syarikat loji kuasa haba, Kapar antara 6 Julai hingga 5 September 2024. Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Nadia Syuhada Rosli menawarkan jaminan sebanyak RM6, 000 bersama seorang penjamin.
Bagaimanapun, Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), James Chan dalam mitigasinya memaklumkan anak guamnya itu bekerja sebagai penghantar dan mempunyai dua anak serta insaf sebab kurang berwaspada ditipu rakannya.
Muhammad Radzi kemudiannya menambah rayuan bahawa dia diperdaya dan meminta jasa baik bagi pengurangan jaminan.
Namun, majistret menegaskan ia cuma untuk proses rayuan jaminan dan kenyataan – kenyataan lain berhubung unsur diperdaya itu diperjelaskan semasa prosiding perbicaraan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM2,500 bersama seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan 7 April depan. – UTUSAN