SHAH ALAM: Seorang pembantu operasi sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2,250, tujuh tahun lalu.
Tertuduh, Zul Fikri Abd. Rahman, 43, membuat pengakuan demikian selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim, Datuk Mohd. Nasir Nordin.
Mengikut pertuduhan, Zul Fikri didakwa menerima wang tunai masing-masing berjumlah RM1,750 dan RM500 melalui akaun bank daripada seorang lelaki yang berusia 31 tahun diketahui mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.
Kesalahan itu dibuat di sebuah cawangan bank di Shah Alam antara 14 Februari 2018 hingga 15 Februari 2019. Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-dua sekali.
Mengikut fakta kes, tertuduh yang merupakan seorang Pembantu Operasi Gred N11 di Jabatan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) didakwa menerima wang berkenaan supaya tidak dikenakan Notis Tindakan Pembetulan (NTP) bagi tuntutan bulanannya.
Tertuduh dikatakan meminta seorang kontraktor syarikat pembersihan bagi membuat bayaran itu menerusi nombor akaun miliknya diserahkan kepada lelaki tersebut ketika bertemu di sekitar Seksyen 35 pada awal Februari 2018.
Zul Fiktri yang tidak diwakili peguam kemudian merayu kepada Hakim supaya dikenakan denda yang minimum dan tidak hukuman penjara kerana mempunyai seorang isteri dan tiga ana masih bersekolah.
“Salah seorang anak sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Saya sedang mencari pekerjaan baharu bagi menyara keluarga dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Saya sudah insaf dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan sama pada masa akan datang. Diharap Yang Arif Hakim dapat mempertimbangkan rayuan saya,” rayunya.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Alimi Mustapha memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal kepada tertuduh sebagai pengajaran kepada masyarakat memandangkan Zul Fikri merupakan seorang penjawat awam.
Hakim Mohd. Nasir kemudian memutuskan untuk mengenakan denda RM15,000 kepada tertuduh dan penjara enam bulan jika gagal membayarnya.
“Mengambil rasuah adalah keji dan salah di sisi Islam. Mahkamah berharap kamu bertaubat dan tidak mengulangi kesalahan sama,” tegasnya. – UTUSAN