KLANG: Tindakan seorang pemandu van cuba mendaftarkan kelahiran seorang bayi yang bukan anak kandungnya sebagai anaknya sendiri mengundang padah apabila didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret, hari ini.
Tertuduh, Lim Tong Leong, 55, dikatakan memberi maklumat palsu bagi mendapatkan Sijil Kelahiran untuk bayi berkenaan, namun mengaku bersalah atas pertuduhan selepas ia dibacakan pada prosiding tersebut.
Dia juga diperintahkan penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Tertuduh membayarnya.
Mengikut pertuduhan, Tong Leong didakwa dengan sengaja mendapatkan Sijil Kelahiran atas nama seorang bayi lelaki yang mengandungi maklumat ibu bapa yang tidak teratur dan palsu serta menjadi pemaklum kepada pendaftaran kelahiran tersebut.
Perbuatan itu dilakukan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Cawangan Pelabuhan Klang antara pukul 8 pagi hingga 5 petang pada 8 Mac 2011.
Sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM2, 000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua -duanya mengikut Seksyen 36 (b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).
Berdasarkan fakta kes, semakan awal mendapati terdapat keraguan dari segi irasan wajah bayi lelaki itu dengan tertuduh dan hasil siasatan mendapati tertuduh mengaku bayi itu bukan anak kandungnya dan isterinya juga mengaku tidak pernah melahirkan bayi di sebuah klinik pada 2 Mac 2011.
Selain itu, hasil ujian DNA turut mengesahkan bayi itu bukan anak kandung tertuduh.
Tong Leong tidak diwakili peguam merayu hukuman terhadapnya dikurangkan sebelum Pegawai Pendakwa JPN, Mohd. Saudi Yusof memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran mengambil kira kekerapan kes tersebut. – UTUSAN