Pegawai PBT berpangkat pengarah tak mengaku terima RM3,500

Pegawai PBT berpangkat pengarah tak mengaku terima RM3,500

Pengarah PBT
NOR Hasyimah Tamziz dibawa ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima wang RM3,500, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang pengarah jabatan di sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima wang tunai RM3,500 pada enam tahun lalu.

Pengakuan itu dibuat tertuduh, Nor Hasyimah Tamziz selepas mendengar dan memahami pertuduhan yang dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.

Berdasarkan pertuduhan Nor Hasyimah, 50, sebagai Pengarah Jabatan Teknologi Maklumat Gred F48 di Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) didakwa menerima wang berjumlah RM3,500 tanpa balasan daripada seorang kontraktor.

Wang tersebut dikatakan mempunyai kaitan dengan tugas rasminya bagi kerja-kerja pentauliahan dan penaiktarafan infrastruktur sistem rangkaian komputer di pejabat cawangan MBDK.

Kesalahan itu dilakukan pada 9 Mei 2019 dekat sebuah cawangan bank di Kompleks Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Kapar. Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tahun, denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muaz Ahmad Khairuddin kemudian menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.

“Pendakwaan mengesyorkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan iaitu lapor diri di pejabat SPRM berdekatan pada setiap awal bulan serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah,” katanya.

Bagaimanapun, peguam V. Ayasamy yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan jumlah jaminan yang rendah dan tidak bersifat menghukum kerana tertuduh belum dibuktikan bersalah.

“Anak guam mempunyai empat orang anak, seorang masih belajar di Jerman, dua bersekolah di asrama dan seorang di madrasah. Untuk makluman suami hadir hari ini untuk menjadi penjamin.

“Saya percaya dalam bentuk wang sahaja tidak memadai untuk memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah dan mengambil kira tertuduh bekerja di MBDK. Tiada sebarang bukti menunjukkan anak guam akan melarikan diri daripada pertuduhan,” jelasnya.

Hakim kemudian memutuskan jumlah jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin serta lapor di pejabat SPRM berdekatan dan menetapkan sebutan semula kes pada 5 Mei depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya