SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mendakwa laporan akhbar tidak semestinya tepat untuk dijadikan rujukan dalam permohonan untuk mendapatkan budi bicara mahkamah bagi membenarkan ikat jamin.
Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud berkata demikian selepas mendengar permohonan daripada peguam N. Moganeysha yang mengemukakan laporan berita seorang warga Bangladesh, Shahin Alam yang dibenarkan diikat jamin bagi pertuduhan rasuah berjumlah RM1,000 dihadapinya di Johor Bahru pada 19 Jun 2023.
Menurutnya, peguam sepatutnya mengemukakan dokumen mahkamah sebagai sokongan bagi permohonan tersebut dan tidak menjadikan laporan daripada pihak ketiga semata-mata sebagai sandaran.
“Laporan media the accuracy is not accurate (bukan sumber primer) untuk menunjukkan rujukan kes. Dokumen mahkamah sepatutnya dikemukakan bagi permohonan tersebut terutama melibatkan kes yang tidak boleh diikat jamin,” katanya.
Bagaimanapun, Moganeysha memberitahu beliau tidak dapat mengemukakan minit mahkamah kerana permohonan untuk mendapatkan dokumen berkaitan prosiding dihadapi Shahin itu mengambil masa lama.
Terdahulu, Salah Uddin, 34, dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan merasuah seorang pegawai polis berpangkat inspektor dengan wang tunai berjumlah RM3,900 di Kuala Selangor pada awal tahun, Rabu minggu lalu.
Namun, penjual kelapa itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Awang Kerisnada.
Berdasarkan pertuduhan, warga Bangladesh itu dikatakan secara rasuah memberikan satu suapan wang tunai kepada seorang ejen Kerajaan Malaysia iaitu seorang pegawai polis sebagai dorongan kepadanya untuk melakukan satu perbuatan berhubung dengan hal ehwal prinsipalnya iaitu tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas adiknya atas kesalahan mencuri.
Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama iaitu penjara sehingga 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Kemudian, Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Mohd Alimi Mustapha dan Mohd. Arif Asyraf Khairi tidak menawarkan sebarang jaminan kerana selain kesalahan tidak boleh dijamin, tertuduh juga boleh melarikan diri atas faktor sebagai seorang warga Bangladesh.
Moganeysha menerusi alasan-alasan dalam permohonan kebenaran jaminan bagi anak guamnya memberitahu jaminan adalah tertakluk kepada budibicara mahkamah.
“Tertuduh mempunyai dokumen perjalanan yang sah termasuk pasport yang tamat nanti pada 18 Oktober 2028. Tertuduh juga pernah mendaftar dalam program rekalibrasi oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada 28 Julai 2023 dan difahamkan tertuduh menjalani proses cap 10 jari untuk menerima pas bagi permohonan tersebut.
“Justeru, dia mempunyai dokumen yang lengkap selain bekerja di Malaysia,” jelasnya.
Bagaimanapun, hakim tidak membenarkan jaminan diberikan atas pelbagai faktor yang tidak mengikat tertuduh dengan negara ini.
“Tertuduh tidak mempunyai kepentingan dalam negara ini seperti perniagaan, alamat tetap dan ahli keluarga. Kesemua elemen itu tiada bagi mengikat tertuduh berada di negara ini,” tegasnya.
Beliau kemudian mengarahkan Salah Uddin ditahan di Penjara Sungai Buloh dan menetapkan 12 Februari untuk pengurusan kes. – UTUSAN