Kerani PBT mengaku salah terima RM3,000

Kerani PBT mengaku salah terima RM3,000

Kerani PBT
MUHAMMAD Amin Rosdan dibawa ke Mahkamah Sesyen bagi menghadapi pertuduhan menerima wang tunai RM3,000, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang kerani sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) mengaku salah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menerima RM3,000 daripada seorang lelaki berkaitan kerja-kerja pembersihan pada Mei 2019 dan Februari 2020.

Tertuduh, Muhammad Amin Rosdan mengaku berbuat demikian selepas dua pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) didakwa menerima sesuatu yang berharga iaitu wang tunai sebanyak RM1,800 dan RM1,200 daripada seorang kontraktor pada 7 Mei 2019 dan 7 Februari 2020 dekat sebuah cawangan bank di Jalan Raja Hassan, Klang.

Wang tunai tersebut didakwa diterima daripada individu sama yang mana beliau sebagai pembantu tadbir tanpa sebarang balasan yang ada kena mengena dengan tugas di PBT tersebut.

Justeru, Muhammad Amin dituduh di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya.

Sementara dalam fakta kes, tertuduh yang bertugas sebagai penyelia di Unit Operasi Kebersihan Bandar Zon Tengah, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam di Seksyen 15, 16 dan 17 di sini didakwa menerima wang tersebut supaya tidak dikenakan notis tindakan pembetulan (NTP) bagi tuntutan bulanannya.

“Pada Januari 2019, tertuduh meminta seorang individu merupakan kontraktor sebuah syarikat pembersihan membuat bayaran bagi tujuan tidak mengeluarkan NTP ketika bertemu dengannya di kedai makan sekitar Seksyen 13.

“Ketika itu, tertuduh juga menyerahkan nombor akaun peribadinya kepada individu berkenaan. Pada 7 Mei hingga 13 Disember, Muhammad Amin menerima keseluruhan wang berjumlah RM1,800 bagi tujuan tersebut dan RM1,200 pada 7 Februari hingga 13 Jun 2020,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman yang minimum selepas berasa kesal dengan kesalahan tersebut selain perlu menanggung dua adik masih belajar.

“Saya mohon rayuan, saya berasal dari keluarga yang susah dan bekerja sebagai pembantu tadbir dengan gaji sekitar RM,900 hingga RM2,000 sebulan. Ibu bapa sakit, bapa bekerja dengan jual air di tepi jalan, tiada sumber pendapatan lain, abang pula kerja sebagai buruh.

“Sebelum ini, saya sudah pun dikenakan tahanan reman selama lima hari, saya kesal dengan kesalahan dan mengakuinya, saya mohon yang arif berilah denda yang minimum, saya merayu,” ujarnya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Arif Asyraf Khairi mencadangkan mahkamah mengenakan hukuman bersifat pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat kerana pengakuan yang dilakukan adalah bersifat opsyenal.

Hakim kemudian memerintahkan Muhammad Amin membayar denda sebanyak RM15,000 dan penjara enam bulan jika gagal membayarnya.

“Dengan pengakuan salah, mahkamah sabitkan kesalahan ke atas kamu. Mahkamah meneliti fakta kes dan rayuan. Mahkamah juga menasihatkan kepada tertuduh, perbuatan rasuah adalah perbuatan yang keji di sisi agama,” tegasnya.

Tertuduh membayar denda selepas prosiding tamat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya