Empat rakan didenda, mengaku curi kabel telekomunikasi

Empat rakan didenda, mengaku curi kabel telekomunikasi

KESEMUA tertuduh diiringi anggota polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Padah mencuri kabel milik sebuah syarikat telekomunikasi, empat lelaki dijatuhi hukuman denda RM2,500 dan RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Khairunnisak Hassni membuat ketetapan itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Muhammad Aziq Imran Mohd. Zamri, Mohd. Fairuz Ismail Mahmad Fuad, R. Sasikumar dan Ahmad Safuan Mokhtar masing-masing berusia 21 hingga 35 tahun sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama dengan niat curang mencuri kabel talian bawah milik syarikat TM Teknologi Sdn. Bhd. bernilai kira-kira RM3,000 di Jalan PTB 2, Kawasan Perindustrian Tangga Batu dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 11.40 malam pada 16 Disember 2024.

Sabit kesalahan, kesemua tertuduh boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK) manakala Seksyen 511 KK memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih daripada setengah tempoh yang paling lama diperuntukkan bagi kesalahan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar mencadangkan hukuman berat dikenakan susulan kes kecurian kabel semakin berleluasa sementara peguam Muhammad Izzuddin Ab. Malek merayu hukuman ringan dengan alasan anak-anak guamnya sudah menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan tersebut.

Mahkamah menjatuhkan denda RM3,000 kepada Mohd. Fairuz Ismail, Ahmad Safuan dan Sasikumar manakala Muhammad Aziq Imran didenda RM2,500 atau penjara dua bulan jika gagal bayar.

Sementara itu, dalam prosiding sama, Mohd. Fairuz Ismail, Ahmad Safuan dan Wan Khairul Aslam Wan Mat, 34, didakwa di bawah Seksyen 186 KK dibaca bersama Seksyen 34 KK kerana sengaja menghalang tugas penjawat awam dengan cara melanggar kereta polis untuk melarikan diri daripada pemeriksaan.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 3 petang di kawasan parkir Pusat Komersial Ayer Keroh dalam daerah Melaka Tengah pada 18 Disember  2024.

Bagaimanapun, hanya Wan Khairul Aslam mengaku bersalah dan dijatuhi denda RM2,500 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar.

Mahkamah membenarkan Mohd. Fairuz Ismail dan Ahmad Safuan diikat jamin RM2,500 seorang serta menetapkan 26 Februari ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya