Dua beradik hutang Ah Long nekad jual van mayat curi

Dua beradik hutang Ah Long nekad jual van mayat curi

Van curi
ABDUL Hamid Rizan (depan) dan Faizal Rizan (belakang) di bawa ke Mahkamah Majistret bagi menghadapi pertuduhan menyimpan van curi, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Dua beradik nekad menempuh perjalanan lebih empat jam sejauh lebih 350 kilometer dengan menaiki van jenazah dicuri dari sebuah masjid dekat Teluk Gong, di sini, dua minggu lalu.

Mereka didakwa menaiki van berkenaan dari masjid tersebut menuju ke Taman Mutiara Rini, Skudai di Johor Bahru kerana dijanjikan oleh pembeli untuk membeli van berkenaan pada harga sebanyak RM30,000.

Dua lelaki terbabit mendakwa memerlukan wang tersebut kerana mahu membayar hutang sekumpulan individu dipercayai Ah Long yang kerap mengganggu mereka. Namun gagal mendapatkannya apabila ditahan polis pada 25 Januari lalu dekat sebuah surau di perumahan berkenaan.

Justeru, Abdul Hamid Rizan, 27, dan adiknya Faizal Rizan, 24, di hadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki harta curi dan mengaku salah di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abd. Rasid.

Kedua-dua tertuduh yang sudah berkahwin itu kemudian dikenakan hukuman penjara selama enam bulan.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa berniat curang menyimpan harta curi iaitu sebuah van jenis Toyota Hiace (van mayat) bernilai RM30,000 milik Masjid Al-Ubudiah Teluk Gong.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan dekat Surau An-Nur Pangsapuri Jasa, Taman Mutiara Rini di Johor Bahru, kira-kira pukul 1.15 pagi pada 25 Januari lalu.

Justeru, Abdul Hamid dan Faizal dituduh di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan hingga lima tahun dan denda.

Terdahulu, peguam mewakili mereka, Mark Jeyakumar memohon mahkamah mengambil kira situasi yang berlaku serta keadaan mereka yang terdesak dan pengakuan salah.

“Mereka kali pertama dituduh di mahkamah, sebelum ini mereka adalah orang yang mematuhi undang-undang. Tujuan menyimpan van curi kerana dijanjikan akan mendapat bayaran RM30,000 kerana mereka terdesak akibat diganggu oleh sekumpulan individu peminjam wang tidak berlesen.

“Sekumpulan individu tersebut dipercayai mengganggu kedua-dua anak guam serta dua adik mereka yang lain. Untuk makluman, kesemua tertuduh adalah adik beradik yang sudah kehilangan kedua ibu bapanya,” katanya.

Tambahnya, Abdul Hamid dan Faizal bekerja dekat sebuah gudang dengan pendapatan masing-masing sebanyak RM1,500 sebulan yang digunakan untuk menanggung dua lagi adiknya yang yatim piatu berusia 17 dan 14 tahun masih bersekolah.

“Abdu Hamid merupakan seorang bapa kepada dua anak sementera Faizal pula berkahwin dan belum mempunyai anak. Mereka juga menanggung isteri masing-masing yang kini tinggal di Sabah. Sementara mereka empat beradik pula tinggal dekat sebuah rumah sewa di sini.

“Justeru saya dengan rendah hati memohon mahkamah membenarkan bon berkelakuan baik di bawah Seksyen 173A dan Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah,” jelasnya.

Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohamad Rabiul Awal Ishak, kemudian memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam sementara van tersebut digunakan bagi pengurusan jenazah.

“Kes tersebut mendapat liputan meluas dalam media sosial. Saya mohon barang kes dikembalikan semula kepada pemilik,” ujarnya.

Majistret memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara dan membenarkan permohonan pendakwaan supaya van terbabit dikembalikan semula kepada pemiliknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya