COO ProLintas ulangi pengakuan tidak bersalah

COO ProLintas ulangi pengakuan tidak bersalah

COO ProLintas
ROSTAM Shahrif Tami (kanan) meninggalkan kamar Mahkamah Sesyen selepas menghadiri prosiding pertuduhan rasuah dihadapinya di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ketua Pegawai Operasi (COO) Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (ProLintas) mengulangi pengakuan tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM110,000 pada dua tahun lalu, ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh, Rostam Shahrif Tami membuat pengakuan demikian selepas dua pertuduhan dibacakan ke atasnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.

Berdasarkan pertuduhan, Rostam Shahrif, 59, didakwa menerima suapan berjumlah RM110,000 daripada sebuah syarikat melalui seorang lelaki sebagai upah kerana memberikan kerja penyelenggaraan iaitu To Construct End Cap Stressing And Shear Block’ dan ‘To Supply Material And Install Rain Water Down Pipe’ kepada syarikat berkenaan.

Kerja-kerja berkenaan adalah berkaitan Projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi–Ulu Kelang (SUKE). Kesalahan itu dilakukan dekat sebuah restoran di Puchong apabila menerima RM90,000 pada 20 Februari 2023 dan RM20,000 daripada individu sama dekat Ibu pejabat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Kajang pada 27 Mac 2023.

Justeru dia dituduh di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Diana Nor Azwa kemudian memohon jaminan sama di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur semalam diguna pakai bagi pertuduhan hari ini dan mengenakan syarat tambahan iaitu melaporkan diri ke pejabat SPRM Shah Alam pada setiap bulan.

Pihak pendakwaan juga memohon pertuduhan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama-sama dengan pertuduhan pertama yang disebut, semalam.

Mahkamah membenarkan tertuduh menggunapakai ikat jamin RM60,000 bersama yang direkodkan di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur semalam serta syarat tambahan iaitu melapor diri di pejabat SPRM Shah Alam pada setiap bulan.

Selain itu, mahkamah juga membenarkan kes dipindahkan untuk dibicarakan bersama kes yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pendakwaan dikendalikan Nor Diana dan Irna Julieza Maaraz manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Sebutan semula kes disekalikan dengan pertuduhannya di Kuala Lumpur pada 27 Februari depan.

Utusan Malaysia semalam melaporkan Rostam Shahrif mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima rasuah bernilai RM70,000 berhubung Projek Penswastaan Lebuhraya SUKE pada dua tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya