ALOR GAJAH: Seorang bekas guru besar sebuah sekolah rendah di sini didakwa di Mahkamah Majistret, hari ini atas pertuduhan memeluk dan mencium seorang bekas guru pelatih wanita, tahun lalu.
Tertuduh, Mohammed Mohd. Som, 58, mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Dr. Teoh Shu Yee.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang guru pelatih wanita berusia 21 tahun ketika kejadian dengan cara memeluk dan mencium pipi mangsa.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 10.40 pagi dalam tandas kelas pra sekolah sebuah sekolah di Lubok China dalam daerah Alor Gajah pada 16 Ogos 2024.
Tertuduh turut berdepan dua pertuduhan serupa iaitu memeluk dan mencium dahi mangsa sama di dalam sebuah kereta di hadapan sebuah premis di Taman Wira Indah dan Taman Ilir Jaya dalam daerah Alor Gajah kira-kira pukul 11 malam pada 18 Januari dan 30 Julai 2024.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan sebanyak RM24,000 bagi kesemua pertuduhan.
Peguam Datuk Hanif Hassan merayu jaminan rendah RM8,000 bagi kesemua pertuduhan dengan alasan anak guamnya kini bertugas di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka dan tidak berisiko melarikan diri.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,500 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Mac ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN