Akauntan GISBH dibenarkan diikat jamin RM40,000

Akauntan GISBH dibenarkan diikat jamin RM40,000

Akauntan GISBH
HAMIMAH Yakub hadir ke Mahkamah Tinggi bagi mendengar permohonan jaminan bagi pertuduhan dihadapinya, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang akauntan syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) yang dituduh menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sebelum ini dibenarkan dibebaskan dengan jaminan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Jaminan itu dibenarkan oleh Hakim Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar selepas pemohon, Hamimah Yakub mengemukakan permohonan kepada mahkamah pada 3 Januari lalu.

Berdasarkan hujahan peguam yang mewakilinya, Kamal Hisham Jaafar, permohonan dibuat di bawah Seksyen 13(2)(b) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang memberi pengecualian kepada golongan wanita dan mempunyai masalah kesihatan.

“Anak guam berusia 73 tahun merupakan ibu kepada dua orang anak dan mempunyai suami, mereka amat memerlukan pemohon untuk bersama mereka. Selain itu tahap kesihatan pemohon turut membimbangkan kerana pada usia itu penuh dengan keuzuran.

“Pemohon menghidapi masalah penyakit berkaitan saluran pernafasan seperti asma dengan bronkitis, diabetes mellitus, darah tinggi serta ekzema yang kronik. Keadaan pemohon yang tidak selesa dari segi kebersihan memburukkan lagi kesihatannya,” katanya.

Sementara peguam Muhammad Nor Tamrin menambah, tiada kebarangkalian pemohon akan melarikan diri berdasarkan afidavit daripada responden (pendakwaan) tidak yang tidak menunjukkan Hamimah akan melakukan perkara tersebut.

“Berdasarkan Lampiran 9, tidak ada satu pun fakta yang boleh mencadangkan pemohon akan melarikan diri atau mengganggu saksi-saksi lain,” ujarnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Norina Bahaddun dalam hujahan balasnya tidak membantah permohonan dibuat oleh Hamimah, namun mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM30,000, serahan pasport kepada mahkamah dan lapor diri pada setiap dua minggu di balai polis berhampiran (dengan alamat kediaman).

Hakim kemudian membenarkan Hamimah diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan dua orang penjamin serta syarat-syarat tambahan ditetapkan berdasarkan keterangan dan hujahan daripada peguam dan afidavid responden selain faktor usia dan masalah kesihatan dihadapinya.

“Jaminan sebanyak RM40,000 dengan dua orang penjamin, melaporkan diri di balai polis Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang sekali dalam dua minggu, pemohon wajib hadir ke mahkamah pada setiap tarikh ditetapkan, pasport diserahkan kepada mahkamah, pemohon tidak dibenarkan kacau ganggu mana-mana saksi yang berkaitan sepanjang kes dibicarakan.

“Sekiranya pemohon sakit pada tarikh perbicaraan, penjamin-penjamin dikehendaki hadir ke mengemukakan sijil sakit dari klinik atau hospital kerajaan. Sekiranya pemohon gagal mematuhi mana-mana syarat jaminan ditetapkan, mahkamah boleh mengeluarkan waran tangkap terhadap pemohon, wang jaminan boleh dirampas atau dinaikkan dan jaminan boleh dibatalkan serta pemohon boleh dipenjara sehingga kes selesai,” jelasnya.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen, Selayang membenarkan kes yang membabitkan Datuk Nasiruddin Mohd. Ali dan isteri, Datin Azura Md. Yusof bersama 20 pengikut lain yang dituduh menjadi ahli kumpulan jenayah terancang (GISBH) dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, Shah Alam.

Pada 23 Oktober tahun lalu, Hamimah termasuk 22 pengikut lain serta anak kepada arwah Asa’ari Muhammad yang dikenali sebagai Abuya didakwa di mahkamah itu atas pertuduhan berkenaan.

Turut dituduh di mahkamah ialah Hasnan Abd. Hamid, 53; Mohd. Shukri Mohd. Noor, 53; Mokhtar Tajuddin, 60; Shuhaimi Mohamed, 56; Muhammad Afdaluddin Latif, 34; Mohamad Sayuti Omar, 35; Mohd Fazil Md. Jasin, 57; Mohd. Dhirar Fakhrur Razi, 34; Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 51; Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 34, dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 28.

Selain itu, Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly,44; Mahani Kasim, 54; Siti Hajar Ismail, 51; Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 27; Nurul Jannah Idris, 28; Nur Jannah Omar, 32; dan Siti Salmiah Ismail, 57. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya