ALOR GAJAH: Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana melarikan diri daripada tahanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), bulan lalu.
Majistret Dr. Teoh Shu Yee membuat ketetapan itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Musliadi Arahman, 39, sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan tentangan dan halangan yang menyalahi undang-undang dengan cara melepaskan diri daripada jagaan pegawai pengiring JKDM yang mana tertuduh telah ditahan secara sah di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 10.10 pagi di pekarangan Kompleks Mahkamah Alor Gajah dalam daerah Alor Gajah pada 25 November 2024.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.
Mengikut fakta kes, tertuduh bertindak melarikan diri ke luar kawasan mahkamah dengan cara memanjat pagar ketika dalam jagaan pegawai pengiring JKDM.
Susulan itu, operasi mengesan tertuduh telah dijalankan dan berjaya ditangkap semula di sebuah kawasan kebun durian di Melaka Pindah kira-kira tiga kilometer dari mahkamah.
Peguam Ishak Mohd. Kari yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan dengan alasan tertuduh pencari nafkah tunggal untuk keluarganya di Aceh, Indonesia selain terdesak melarikan diri kerana mendapat maklumat anak dan isterinya terlibat kemalangan.
Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri mencadangkan hukuman setimpal terhadap tertuduh.
Mahkamah menjatuhkan penjara 12 bulan bermula dari tarikh jatuh hukum dan menasihatkan tertuduh mendapatkan bantuan Kedutaan Indonesia jika mahu mengetahui keadaan semasa keluarga berbanding melakukan tindakan yang menyalahi undang-undang. – UTUSAN