Rompakan bersiri: Tiga termasuk dua beradik dihadapkan ke mahkamah

Rompakan bersiri: Tiga termasuk dua beradik dihadapkan ke mahkamah

Rompakan bersiri
SAIMEN dan Alex Gunaselan serta RishitharanTheivendran diiringi polis ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen di Klang, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Hakim Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menolak permohonan jaminan terhadap dua pemuda yang dituduh dengan melakukan rompakan bersiri dan menyebabkan kecederaan di sekitar daerah ini sejak Oktober hingga November lalu.

Tertuduh, Saimen Gunaselan, 26, dan Rishitharan Theivendran, 21, didakwa atas lapan pertuduhan melakukan rompakan secara berkumpulan ke atas lapan wanita dalam kejadian berasingan antara 26 Oktober hingga 18 November lalu.

Rompakan tersebut dilakukan mereka keatas wanita berusia 23 hingga 69 tahun di sekitar Taman Sentosa, Bandar Bukit Tinggi, Pandamaran dan Bandar Klang.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh itu mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan tersebut yang dibacakan secara bersama ke atas mereka di hadapan Hakim Noridah Adam.

Mengikut pertuduhan, empat daripadanya didakwa di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan (KK) kerana menyebabkan kecederaan dan empat lagi di bawah Seksyen 395 kanun sama.

Sabit kesalahan kedua-dua tertuduh yang dikatakan masih tinggal dengan kedua ibu bapa masing-masing itu boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Turut dituduh adalah abang kepada Saimen iaitu Alex, 28, di bawah Seksyen 412 KK kerana secara tidak jujur menyimpan harta curian iaitu sebuah telefon pintar Samsung Galaxy A35 5G dimiliki seorang wanita berusia 58 tahun dengan pengetahuan dan mempercayai sebab ia diperolehi melalui perbuatan rompakan berkumpulan.

Pada prosiding tersebut, Timbalan Pendakwa Raya, Peh Fong Xi memaklumkan kepada mahkamah tiada tawaran jaminan diberikan kerana kesalahan dilakukan adalah serius dan tidak boleh dijamin.

“Mohon mahkamah menetapkan terus tarikh sebutan kerana tiada jaminan ditawarkan. Ini kerana kes yang disabitkan terhadap tertuduh adalah banyak dengan modus operandi yang sama selain terdapat kebarangkalian tertuduh melarikan diri,” katanya.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh Atifah Muhammad memohon supaya mahkamah atas budi bicara membenarkan anak guamnya dibebaskan dengan jaminan dan bersedia mematuhi syarat tambahan.

“Saimen bekerja dengan pendapatan sekitar RM1,200 sementara Rishitharan pula bekerja dengan gaji RM100 sehari. Kedua-dua tinggal dengan ibu bapa masing-masing sementara Rishitharan pula sudah berkahwin dan mempunyai anak berusia dua tahun dan merupakan penanggung tunggal keluarga,” ujarnya.

Hakim kemudian hanya membenarkan Alex diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan bagi kesemua pertuduhan pada 23 Januari bagi pengurusan kes dan penyerahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya