SHAH ALAM: Bekas peserta rancangan realiti TV Pencetus Ummah (PU), PU Azman dikenakan hukuman enam tahun penjara dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lebih tujuh tahun lalu.
Hukuman tersebut dikenakan apabila bekas pendakwah selebriti itu menukar pengakuan bersalah selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima representasi daripada pihak pembelaan yang dihantar pada Oktober lalu.
Mahkamah turut memutuskan hukuman tersebut diambil kira (TIC) mengikut Seksyen 171(A) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) terhadap satu lagi pertuduhan sama yang dikenakan ke atas PU Azman yang juga dikenali sebagai ‘Che Man’.
Berdasarkan fakta kes, PU Azman atau nama sebenarnya Azman Syah Alias, 43, didakwa mengusap kepala dan mencium pipi pengadu yang ketika itu berusia 17 tahun sebelum menyentuh kemaluan mangsa beberapa kali dengan maksud seksual.
Insiden tersebut berlaku selepas remaja tersebut diajak bermalam dekat sebuah inap desa yang disewa oleh tertuduh dekat Jalan Kebun, di sini sekitar September 2017. Bagaimanapun, pengadu tidak menceritakan kejadian berkenaan kepada sesiapa kerana takut tidak akan dipercayai.
Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dihukum sebat.
Peguam, Fahmi Adilah mewakili PU Azman memohon mahkamah mengenakan hukuman paling minimum atas beberapa faktor termasuk mengambil kira anak guamnya kini sedang menjalani hukuman penjara di Kajang.
“Tertuduh adalah bekas pendakwah selebriti dan sebelum ditahan tiada sebarang rekod jenayah atau kesalahan lampau. Pengakuan salah oleh tertuduh didorong oleh faktor keinsafan dan kekesalan.
“Tertuduh sedang jalani hukuman penjara sejak 27 September lalu dan terlibat dengan program-program keagamaan yang memberikan manfaat kepada banduan lain dan staf penjara. Justeru, itu menunjukkan tertuduh insaf,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi memohon mahkamah mengenakan hukuman dengan mengambil kira pengajaran dan kepentingan awam yang melebihi kepentingan peribadi tertuduh.
“Walau apa jua mitigasi yang dikemukakan, tertuduh sebagai pendakwah selebriti. Perlakuan itu tak sewajarnya berlaku terutama terhadap kanak-kanak. Hukuman beri pengajaran kepada tertuduh dan membuka mata masyarakat,” jelasnya.
Hakim Rasyihah Ghazali kemudian menjatuhkan hukuman berdasarkan fakta kes dan keterangan daripada enam saksi dalam perbicaraan sebelum ini iaitu enam tahun penjara bermula pada tarikh jatuh hukum dan satu sebatan.
“Tertuduh juga hendaklah menjalani kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan. Tertuduh diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat tempoh pemenjaraan,” katanya.
Terdahulu, PU Azman dikenakan hukuman penjara oleh Mahkamah Sesyen di Seremban selama tujuh tahun dan di Klang selama 24 tahun atas kesalahan sama terhadap mangsa yang berlainan.
Kemudian pada 6 Disember lalu, dia dikenakan penjara selama 14 bulan oleh Mahkamah Majistret di Klang atas kesalahan melakukan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki pada dua tahun lalu. – UTUSAN