SHAH ALAM: Seorang pengurus gudang dituduh di Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana memiliki 4,335 unit alat mainan seks termasuk silikon berbentuk kemaluan dan payudara wanita pada 30 November tahun lalu.
Tertuduh, Goh Wei Keang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya dan dikenakan denda sebanyak RM6,500 oleh Majistret Ameera Mastura Khamis yang turut menetapkan penjara empat bulan jika gagal membayarnya. Tertuduh bayar denda.
Selain itu, mahkamah memerintahkan barangan kes diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi tujuan pelupusan.
Mengikut kertas pertuduhan, Wei Keang, 30 didakwa memiliki sebanyak 4,335 pelbagai unit alatan dan mainan seks dalam gudangnya di Jalan Industri 6, Kampung Baru Sungai Buloh dekat sini, kira-kira pukul 11 pagi pada 30 November tahun lalu.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan penguatkuasa Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, KDN Putrajaya telah menyerbu sebuah gudang dalam keadaan secara terbuka dengan tertuduh mengaku sebagai pengurus premis itu.
Hasil pemeriksaan merampas pelbagai peralatan seks dengan siasatan mendapati alatan itu dijual dan diiklankan melalui beberapa aplikasi dalam talian.
Wei Keang yang masih bujang dan tidak diwakili peguam tersebut merayu pengurangan hukuman susulan terpaksa menanggung ibu dan adiknya yang berusia 20 dan 60 tahun.
“Saya juga tidak buat lagi bisnes seperti itu (selepas ditangkap) dan janji tidak akan mengulanginya,” ujarnya.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa KDN Selangor, Siti Mazlini Ahmad Zawawi memohon hukuman setimpal melihat kepada keseriusan kes tersebut. – UTUSAN