SEREMBAN: Seorang wanita yang juga pengarah sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas dua pertuduhan menggunakan bangunan milik syarikatnya untuk aktiviti pengubahan wang haram, tahun lalu.
Tertuduh, Cheong Yin Ying, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim, Mohamad Kamil Nizam.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melibatkan diri secara langsung dalam transaksi dengan menggunakan bangunan dan benda dalam bangunan di Kawasan Perindustrian Ringan Mantin milik syarikatnya sebagai peralatan kesalahan untuk melakukan suatu aktiviti haram pada 15 Disember 2023.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan penggubahan wang haram di bawah perenggan 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4 (1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi. –UTUSAN.