Guru taska bakal nikah hari ini dituduh dera bayi

Guru taska bakal nikah hari ini dituduh dera bayi

Guru taska
NUR Suhaidah Saharudin dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen, Klang, Selangor selepas mendengar pertuduhan yang dikenakan ke atasnya kerana mendera seorang bayi, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN /AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seorang guru taska yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan mendera seorang bayi berusia 11 bulan sehingga pipi dan telinga kanannya mengalami lebam memohon hukuman ringan kerana akan bernikah hari ini.

Rayuan itu dibuat tertuduh, Nur Suhaidah Saharudin, 24, sebelum Hakim Nurul Mardhiah Mohamed Redza membuat sebarang penetapan selepas dia mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Bagaimanapun, bakal pengantin itu dapat menarik nafas lega apabila hakim menetapkan tarikh pendengaran bagi menjatuhkan hukuman pada Selasa depan.

Terdahulu dalam prosiding tersebut, Nur Suhaidah sebagai seorang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak lelaki (bayi tersebut) didakwa menganiayai kanak-kanak itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Tertuduh melakukan perbuatan terbabit pada 13 Disember lalu di sebuah taska di Puncak Alam, Kuala Selangor kira-kira pukul 6.15 petang.

Justeru, sabit kesalahan, guru terbabit boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Susulan itu, Nur Suhaidah yang tidak diwakili peguam pada prosiding itu merayu supaya mahkamah mengenakan hukuman ringan.

“Hari ini (Jumaat) saya hendak bernikah dan esok (Sabtu) bersanding,” katanya.

Namun, hakim menegur rayuan tersebut bukanlah untuk dijatuhkan hukuman pada hari ini, sebaliknya ia sebagai rayuan jaminan.

Pada prosiding tersebut juga, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azamuddin Razak kemudian menawarkan ikat jamin sebanyak RM15,000 kepada tertuduh selain meminta sebutan kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Selangor.

Hakim Nurul Mardhiah kemudian membenarkan Nur Suhaidah diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu tarikh bagi menjatuhkan hukuman dan sebutan fakta kes yang ditetapkan pada 24 Disember ini.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan keluarga serta saksi-saksi.

Sementara itu, timbalan pendakwa raya ketika ditemui selepas prosiding tersebut mengesahkan sebutan fakta kes dan jatuh hukum akan dibuat di Mahkamah Sesyen Kuala Selangor pada tarikh tersebut.

Sebelum ini, polis dilapor menahan Nur Suhaidah di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, Sabtu lalu selepas ibu bapa mangsa membuat laporan polis selepas melihat kesan lebam pada pipi dan telinga kanan anak mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya