Eksploitasi kerja: Mahkamah arah dua individu bayar RM155,000

Eksploitasi kerja: Mahkamah arah dua individu bayar pampasan RM155,000

Eksploitasi kerja
DUA individu termasuk seorang warga Kemboja dikenakan hukuman penjara lima tahun, denda RM25,000 serta membayar pampasan kepada mangsa eksploitasi kerja berjumlah RM155,000 oleh Mahkamah Sesyen, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Dua termasuk wanita warga Kemboja masing-masing diarah membayar pampasan RM77,500 kepada enam mangsa penyeludupan migran Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Selain itu, kedua-dua tertuduh, Ith Eamy dan Diong Yeou Chin, 45, juga dikenakan hukuman penjara selama lima tahun dan denda RM4,000 hingga RM5,000 setiap seorang.

Hukuman itu diputuskan Hakim Zulqarnain Hassan dalam prosiding keputusan di peringkat akhir pembelaan selain menetapkan tambahan penjara enam bulan jika gagal bayar denda dan tambahan enam bulan lagi jika gagal bayar pampasan kepada setiap mangsa.

Berdasarkan pertuduhan, Eamy dan Yeou Chin didakwa memperdagangkan enam warga Kemboja bagi maksud eksploitasi kerja paksa iaitu dengan cara penyalahguaan kedudukan orang yang mudah terdedah kepada bahaya perbuatan pemerdagangan orang yang bertujuan untuk pembekalan tenaga kerja.

Kesalahan tersebut dilakukan dekat Jalan Yadi, Kampung Sungai Udang antara 2020 hingga 9 Ogos 2022.

Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migrann (ATIPSOM) 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda.

Hakim Zulqarnain dalam penghakimannya berkata, selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan serta kedua-dua peguam mewakili anak guam masing-masing, pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah sepanjang perbicaraan.

Menurutnya, hujahan yang dikemukakan kepada mahkamah oleh pihak pembelaan adalah bersifat penafian.

“Mahkamah mengambil kira bagaimana kesalahan dilakukan, mangsa-mangsa secara umumnya adalah orang susah yang tinggal di Kemboja dan meninggalkan kampung halaman untuk mendapat pekerjaan dan kehidupan lebih baik di negara ini.

“Apa yang mereka dijanjikan tak sama apa yang mereka dapat, mereka dijanjikan dengan masuk secara sah melalui imigresen, pekerjaan yang baik, layanan yang baik, namun apa yang berlaku, sebaliknya.

“Masuk ke Malaysia diangkut secara tidak sah, dibawa secara (melalui) darat dari Kemboja empat hari lima malam, merentasi sungai, darat dan masuk bukan ikut sempadan yang dibenarkan,” katanya hari ini.

Malah, Hakim Zulqarnain menjelaskan berdasarkan keterangan-keterangan enam saksi yang merupakan mangsa, mereka dijanjikan dengan tempat kerja baik, namun sebaliknya berlaku apabila bekerja tanpa permit, pasport diambil, gaji dipotong, diugut dan tidak bebas.

“Malah, tempat tinggal yang diberikan yang dikatakan asrama adalah sebuah kontena yang menempatkan 15 orang campur lelaki dan perempuan, dihadang dengan kain. Apa yang diharapkan datang ke Malaysia tidak sama apa yang berlaku kepada mereka,” tegasnya.

Terdahulu, ketika mitigasi pada prosiding tersebut, Peguam P. Visnuvarman yang mewakili Eamy memohon mahkamah mempertimbang kedudukan anak guamnya yang bekerja sendiri dan mempunyai seorang anak berusia 12 tahun masih bersekolah.

“Dia seorang warga Kemboja yang tinggal di negara ini sejak 2004 dan kini menjalankan perniagaan jahit pakaian dengan pendapatan tidak menentu bergantung kepada pekerjaan yang diperolehi,” katanya.

Sementara peguam Tham Weng Kin yang mewakili Yeou Chin pula memaklumkan anak guamnya hanya bekerja sambilan sebagai penyelia di syarikatnya dengan pendapatan bulanan antara RM2,000 hingga RM3,000.

“Itu merupakan kesalahan kali pertamanya dan merujuk kepada keterangan saksi, tiada sebarang perbuatan keganasan dilakukan, bagi kes itu juga, dia ditahan selama empat hari dan memberi kerjasama kepada polis. Anak guam juga menyerah diri semasa diperlukan untuk siasatan,” jelasnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Arnisah Pisol dalam hujah pemberatnya menegaskan, kesalahan yang dilakukan oleh kedua-dua tertuduh dan menyebabkan negara ini dinilai di peringkat antarabangsa dari segi penarafan dalam laporan bagi kes eksploitasi manusia dan serta penyeludupan migran.

Beliau juga memohon mahkamah mempertimbangkan keperluan pembayaran pampasan oleh kedua-dua tertuduh kepada kesemua mangsa berusia 20 hingga 40 tahun seperti di bawah Seksyen 66 akta sama serta Seksyen 46 Kanun Tatacara Jenayah.

“Kesemua mangsa berdepan pemotongan gaji dan didakwa dikehendaki membayar hutang sebanyak RM5,300 kepada tertuduh kononnya kos perjalanan dan pasport selain tekanan dihadapi mereka sepanjang enam bulan berada di negara ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya