Bomoh cabul remaja bawah umur dipenjara 50 tahun

Bomoh cabul remaja bawah umur dipenjara 50 tahun

TERTUDUH mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal melibatkan remaja bawah umur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 50 tahun bersama 13 sebatan kepada seorang bomoh selepas lelaki itu mengaku bersalah atas empat pertuduhan amang seksual fizikal melibatkan remaja bawah umur, kononnya untuk membuang pendamping.

Tertuduh, Zemi Rahim, 51, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dua bulan di kawasan semak di Jalan Taman Malim Jaya dan taman perindustrian berdekatan sebuah pasar raya di Cheng dalam daerah Melaka Tengah pada awal, pertengahan dan akhir September serta 9 Oktober 2023.

Mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh datang ke rumah mangsa bagi mengubati ibu saudaranya, namun bertindak memberitahu ibu mangsa bahawa remaja itu mempunyai pendamping.

Kemudian, tertuduh datang ke rumah mangsa kira-kira pukul 12.30 tengah malam pada awal September 2023, bagi mengubatinya di kawasan Malim sebelum mangsa mengikuti tertuduh dan ditemani bapa saudaranya.

Sebaik tiba di kawasan semak, tertuduh meminta bapa saudara mangsa membeli air sirap dan nasi ayam dengan alasan untuk menjamu makhluk halus.

Mangsa dicabul ketika itu dan tertuduh mengulangi perbuatan sama pada hari lain seperti pertuduhan sehingga mangsa mendedahkan perkara itu.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin memohon hukuman setimpal kerana mangsa hanya berumur 16 tahun ketika kejadian, masih bersekolah dan mengalami trauma.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman berjalan serentak dari tarikh ditangkap iaitu pada 16 Oktober 2023.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 50 tahun dan 13 sebatan bagi kesemua pertuduhan, namun diarah berjalan serentak dari tarikh ditangkap menjadikan tertuduh perlu menjalani hukuman selama 15 tahun sahaja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya