Bekas tukang masak tak mengaku curi jam Rolex bernilai RM67,000

Bekas tukang masak tak mengaku curi jam Rolex bernilai RM67,000

Curi jam Rolex
SAFARUDDIN Bacho dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan mencuri jam tangan mewah Rolex Oyster bernilai RM67,000, di Shah Alam, Selangr, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bekas tukang masak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencuri seutas jam tangan mewah jenama Rolex bernilai lebih RM60,000 pada bulan lalu.

Tertuduh Safaruddin Bacho, 44, membuat pengakuan demikian selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa mencuri sebuah jam tangan mewah Rolex Oyster berharga RM67,000 yang ketika itu di bawah jagaan seorang wanita berusia 32 tahun yang bekerja dekat sebuah kedai barangan berjenama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan dekat sebuah kedai di Jalan SS16, Subang Jaya, pada pukul 10.40 pagi, 23 November lalu. Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, lelaki yang kini tidak bekerja itu boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan boleh didenda.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Sofea Jaysal kemudian menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Shalehhuddin Salam yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga selain masih mencari pekerjaan.

Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh serta menetapkan 14 Februari ini untuk sebutan kes.

Sebelum ini, polis dilaporkan menahan seorang lelaki tempatan dipercayai terbabit dalam kes mencuri jam tangan mewah jenama Rolex bernilai kira-kira RM64,000 dekat sebuah kedai barangan berjenama.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, dalam kejadian pada pukul 10.40 pagi itu, suspek berpura-pura menyamar sebagai pelanggan sebelum mencuri aksesori di premis berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya