Bekas penuntut dipenjara 30 tahun, 12 sebatan edar dadah

Bekas penuntut dipenjara 30 tahun, 12 sebatan edar dadah

Edar dadah
BRETLEY Letu Micheal Gambit dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan atas kesalahan mengedar dadah jenis methapethamine seberat 4.2kg, di Mahkamah Tinggi, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: “Saya amat memohon maaf atas perbuatan itu dan berjanji tidak akan melakukannya lagi.”

Demikian luahan kekesalan oleh seorang bekas penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) yang dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah seberat 4.29 kilogram, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar memutuskan demikian selepas mendapati tertuduh, Bretley Letu Micheal Gambit, 23, didapati bersalah dan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan itu.

Beliau dalam penghakimannya berkata, pembelaan tertuduh hanya bersifat penafian kosong sekali gus gagal menangkis kes pendakwaan.

“Mahkamah mendapati tertuduh seperti sudah biasa berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan secara jelas mempunyai kaitan dengan beg (berisi dadah) itu.

“Ia turut mengambil kira jumlah dadah yang banyak dan semestinya bukan untuk kegunaan sendiri. Tertuduh juga jelas mahu membawa dadah itu ke Miri, Sarawak,” katanya.

Bretley yang menuntut dalam jurusan Penyelenggaraan Jentera Berat di IKBN Miri sebelum ini menangis sebaik keputusan itu sebelum turut dipeluk ahli keluarganya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Heikal Ismail memohon hukuman gantung sampai mati kerana perbuatan mengedar dadah dianggap amat serius.

“Mahkamah tidak perlu berasa simpati dengan mitigasi pembelaan dan tertuduh telah didapati bersalah dalam kes ini. Ini satu amaran serius dan isyarat penting kepada masyarakat dalam memerangi dadah yang juga musuh nombor satu negara,” katanya.

Namun, peguam Nik Muammer Hurrie Mohamad Sukri memohon hukuman diringankan kerana anak guamnya merupakan pesalah muda iaitu berusia 19 tahun ketika kejadian.

“Anak guam saya yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau sebelum ini telah direman selama lebih empat tahun. Dia yang telah insaf turut telah menduduki semula peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di dalam penjara bagi memperbaiki pendidikannya,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan, Bretley didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 4.29 kilogram di pejabat Bahagian Jenayah Narkotik Daerah, Aras 3, KLIA Sepang, kira-kira pukul 5 petang, 22 Julai 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak lebih 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan jika tidak dihukum gantung.

Seramai tujuh saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya