SHAH ALAM: Pelakon, pelawak dan pengacara, Shuib bersama seorang lelaki Kho Choon Guan yang mewakili syarikat pengeluar minuman, Bubblebee Sdn. Bhd. (Bubblebee) hadir di Mahkamah Majistret bagi mendengar tujuh pertuduhan termasuk tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tahun lalu.
Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 40, dan Choon Guan, 33, sebagai pengarah syarikat itu mengaku bersalah dan dikenakan denda keseluruhan RM17,500 oleh Majistret Ameera Mastura selepas pertuduhan dibacakan ke atas mereka.
Selain itu, mahkamah turut memerintahkan penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda, namun dalam masa sama syarikat itu dibenarkan membuat bayaran ansuran sebanyak enam kali bagi tunggakan caruman kepada Perkeso.
Berdasarkan pertuduhan, Bubblebee didakwa tiga pertuduhan sebagai majikan utama kepada seorang lelaki berusia 25 tahun didapati gagal membayar kepada Perkeso bagi caruman majikan dan pekerja bagi bulan November, Disember 2023 dan Januari 2024 berjumlah keseluruhan RM97.80.
Caruman tersebut adalah sperti yang seperti dikehendaki dibawah Seksyen 6 (1) dan (8) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Peraturan 32, Peraturan-Peraturan Am Keselamatan Sosial Pekarja 1971.
Syarikat tersebut juga didakwa dengan tiga pertuduhan gagal membayar caruman keseluruhan RM17.40 bagi pekerja dalam tempoh sama di bawah Sesyen 18 (1) Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) dan Peraturan 9 (1) Peraturan-Peraturan Sistem Insurans Pekerjaan (Pendaftaran dan Caruman) 2017.
Kesemua perbuatan itu dilakukan di syarikat berkenaan di Taman Industri Alam Perdana, Taman Putra Perdana Puchong kira-kira pukul 8.30 pagi pada setiap tarikh 16 hari bulan untuk November tahun lepas hingga Januari lalu.
Malah, syarikat yang diasaskan Shuib itu juga dituduh gagal mematuhi saman di bawah Seksyen 110 (1) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 yang seterusnya melakukan kesalahan di bawah Seksyen 110 (2) akta sama dengan perbuatan dilakukan di Pejabat Perkeso Selangor kira-kira pukul 11 pagi, 10 Januari lalu.
Sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan dihadapi syarikat itu adalah boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.
Berdasarkan pecahan, Bubblebee didenda RM7,500 masing-masing untuk Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017.
Untuk pertuduhan ingkar saman pula sebanyak RM2,500 dan dokumen berkaitan perlu diserahkan kepada Perkeso pada 20 Disember ini.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Perkeso Selangor, Nurul Atikah Che Sarif manakala OKS tidak diwakili peguam. – UTUSAN