Shuib, pengarah Bubblebee dituduh gagal bayar cukai RM1.6 juta

Shuib, pengarah Bubblebee dituduh gagal bayar cukai RM1.6 juta

Bubblebee
SHUIB dan Koh Choon Guan (kanan) tiba di mahkamah bagi mendengar pertuduhan yang dikenakan terhadapnya bersama seorang lagi pengarah Bubblebee di Mahkamah Sesyen di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pengacara dan pelawak, Shuib dan seorang lagi pengarah syarikat minuman Bubblebee Sdn. Bhd. didakwa masing-masing dengan enam pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan berjumlah RM1.2 juta dan penalti RM453,969.42 pada tahun lalu, di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 40, dan Koh Choon Guan, 33, sebagai orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan ke atas mereka secara berasingan.

Turut dituduh dengan pertuduhan sama adalah syarikat Bubblebee itu sendiri yang diwakili oleh Choon Guan.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga pihak itu didakwa gagal membayar cukai perkhidmatan berjumlah keseluruhan RM1,191,153.78 yang kena dibayar bagi tempoh bercukai ditetapkan kepada Ketua Pengarah Kastam.

Mereka didakwa gagal membayar cukai berkenaan mengikut tempoh bercukai seperti berikut iaitu RM217,542.62 (1 Januari dan 28 Februari 2023), RM217,592.56 (1 Mac hingga 30 April 2023), RM190,848.35 (1 Mei hingga 30 Jun 2023), RM268,353.06 (1 Julai hingga 31 Ogos 2023), RM146,870.03 (1 September hingga 31 Oktober 2023) dan RM149,947.16 (1 November hingga 31 Disember 2023).

Kesemua cukai tersebut sepatutnya dibayar kepada Ketua Pengarah Kastam berdasarkan Seksyen 26(4) Akta Cukai Perkhidmatan 2018.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan pada 1 April 2023 hingga 1 Februari lalu dekat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Cawangan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang.

Justeru dua pengarah itu bersama syarikat Bubblebee dituduh di bawah Seksyen 26(8) yang dibaca bersama Seksyen 78 yang boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama kerana gagal membayar cukai perkhidmatan yang perlu dibayar kepada Ketua Pengarah Kastam dalam tempoh ditetapkan.

Mengikut Seksyen 26(10) akta sama, mereka dikehendaki membayar penalti sebanyak RM453,969.42 bagi kesemua enam pertuduhan tersebut.

Kemudian, Pegawai Pendakwa (JKDM) Wan Abd. Rahim Wan Mahamood dan Nur Amalina Ahmad Nazeri menawarkan jumlah jaminan sebanyak RM2,500 bagi setiap pertuduhan dengan alasan jumlah cukai terlibat sehingga RM1.6 juta.

Bagaimanapun, peguam mewakili Shuib, Choon Guan dan Bubblebee, Muhammad Firdaus Shaik Alauddin menolak jaminan tersebut apabila pertuduhan dihadapi oleh anak guamnya itu bukanlah kesalahan jenayah yang dituduh di bawah Kanun Keseksaan.

“Alasan cukai sehingga RM1.6 juta yang tidak dibayar itu juga bukan suatu fakta kerana ia baru diperingkat pertuduhan. Selain itu, anak guam memberikan kerjasama kepada JKDM dan berjanji untuk menghadiri semua prosiding perbicaraan.

“Selain itu, anak guam juga bukanlah orang yang berpotensi untuk melarikan diri kerana mempunyai perniagaan yang beroperasi di negara ini,” katanya.

Hakim Rasyihah Ghazali kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 bagi kepada setiap pengarah dan menetapkan 18 Disember untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Pada Isnin lalu, Bubblebee, Shuib dan Koh didenda RM17,500 oleh Mahkamah Majistret di sini atas tujuh pertuduhan termasuk tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tahun lalu.

Shuib dan dikenakan hukuman terbabit selepas mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Ameera Mastura Khamis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN