Petisyen rayuan Da'i Syed difailkan selewat-lewatnya esok

Petisyen rayuan Da’i Syed difailkan selewat-lewatnya esok

DA'I Syed
DA'I Syed ketika ditemui pemberita selepas selesai pengurusan kes rayuan hukuman di Mahkamah Tinggi, di Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN / M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pendakwah selebriti, Da’i Syed akan memfailkan petisyen rayuan kepada Mahkamah Tinggi selewatnya-lewatnya esok berhubung hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen ke atasnya pada 30 Ogos lalu.

Peguam, Muhammad Amin Othman berkata, sebelum ini pihaknya memfailkan notis rayuan pada 30 Ogos, lalu iaitu tarikh sama Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful, 29, dijatuhkan hukuman berkenaan.

“Tiada dokumen baharu yang dimasukkan (ke dalam petisyen rayuan). Petisyen rayuan adalah alasan-alasan perayu untuk merayu ke Mahkamah Tinggi (bagi hukuman dijatuhkan kepadanya).

“Kita (pembelaan) merayu untuk sabitan dan bagi hukuman, pendakwaan merayu bagi hukuman,” katanya selepas selesai pengurusan kes rayuan hukuman Da’i Syed di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Pengurusan kes hari ini dikendalikan Penolong Kanan Pendaftar, Nadia Othman dan pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Maizatul Abdul Rahman.

Sementara itu, Muhammad Amin memberitahu tarikh pengurusan kes seterusnya adalah pada 10 Disember.

“Hari ini, kami turut buat permohonan supaya Da’i Syed dikecualikan untuk hadir ke Mahkamah Tinggi untuk pengurusan kes seterusnya pada 10 Disember ini. Mahkamah membenarkan permohonan kami (iaitu Syed Shah Iqmal dikecualikan untuk hadir),” ujarnya.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan terhadap Syed Shah Iqmal selepas didapati bersalah atas pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun di sebuah kondominium di Seksyen 7, di sini, lima tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, iaitu hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika disabit kesalahan.

Namun, Syed Shah Iqmal dibenarkan penangguhan hukumannya oleh Mahkamah Tinggi pada 20 September lalu sementara menunggu rayuan akhir terhadap hukuman yang dikenakan ke atasnya ketika ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya