MELAKA: Sebuah syarikat pembekal minyak masak didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam kerana menjual minyak masak melebihi had dibenarkan seperti termaktub dalam syarat Lesen Runcit Barang Kawalan Berjadual (CSA) milik sebuah syarikat peruncit, tiga tahun lalu.
Hakim Azaraorni Abd. Rahman membuat ketetapan itu selepas menerima pengakuan salah orang kena saman (OKS), Lesong Food Industries Sdn. Bhd. yang diwakili Pengarahnya, Datuk Dr. Zaini Md. Taha, 46, sejurus pertuduhan pindaan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, OKS didakwa menjual 240 botol minyak masak seberat lima kilogram berjumlah 1,200 kilogram, melebihi had dibenarkan dalam syarat lesen syarikat Era Prestij Resources.
Kesalahan itu dilakukan di premis Lesong Food Industries Sdn. Bhd., Bandar Jasin Bestari dalam daerah Jasin pada 13 Ogos 2021.
Sabit kesalahan OKS boleh didenda maksimum RM2 juta dan bagi kesalahan kali kedua didenda tidak melebihi RM5 juta mengikut Seksyen 14 Akta Kawalan Bekalan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (2) akta sama.
Mengikut fakta kes, syarikat Era Prestij Resources telah menyimpan minyak masak lebih daripada had kuantiti lesen CSA iaitu 500 kilogram dan semasa pemeriksaan dibuat, terdapat lebihan 700 kilogram minyak dalam simpanan.
Siasatan lanjut mendapati syarikat Lesong Food Industries Sdn. Bhd. bertanggungjawab membekalkan minyak masak tersebut.
Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Muhamad Ashraf Nashruddin Ahmad Nazri dan Muhammad ‘Aqib Hasan Azhari mencadangkan jumlah denda yang tinggi kerana kesalahan melibatkan barang kawalan serta mengambil kira kepentingan awam.
OKS yang tidak diwakili peguam merayu denda minimum dengan alasan telah menutup operasi perniagaan di Melaka dan tiada wang membayar denda tinggi.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM20,000. – UTUSAN