ALOR GAJAH: Seorang pemandu lori didenda RM16,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan kecuaian memandu sehingga menyebabkan kemalangan terhadap kereta dinaiki tiga sekeluarga, lima tahun lalu.
Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin membuat ketetapan itu selepas menerima pengakuan salah tertuduh, T. Kumaresan, 30, sejurus tiga pertuduhan pindaan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kesemua kertas pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu lori dengan nombor pendaftaran MBS 9139 telah memandu secara tidak cermat dan perhatian yang sepatutnya sehingga melanggar kereta dinaiki tiga sekeluarga iaitu Ng Kwang Shiang, 34; Ng Hui Bee, 27, dan Ng Huey En berusia tujuh tahun.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 12.19 tengah malam di Jalan Kolam dalam daerah Alor Gajah pada 18 November 2019.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM10,000 dan boleh juga dipenjara selama tempoh tidak melebihi 12 bulan serta sabitan hendaklah dicatatkan pada lesen memandu mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.
Peguam A. Mathan merayu denda minimum dengan alasan tertuduh bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM2,000 sebulan dan menanggung isteri serta ibunya yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM5,500 atau enam bulan penjara jika gagal bayar bagi setiap pertuduhan dan mengarahkan sabitan direkodkan pada lesen memandu tertuduh. Tertuduh membayar denda tersebut.
Sebelum ini, dilaporkan sepasang suami isteri bersama anak perempuan mereka maut selepas kereta dinaiki dirempuh lori muatan bakul ayam kosong.
Seorang lagi anak pasangan itu yang berusia setahun ketika kejadian mengalami patah kaki. – UTUSAN