KUALA SELANGOR: Lapan nelayan warga Myanmar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menceroboh perairan negara dan menggunakan bubu naga untuk menangkap ikan, Julai lalu.
Kesemua tertuduh lelaki membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Burma di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.
Mereka terdiri daripada empat tekong bot iaitu U. Thay, 39; Maung Maung Soe, 37; Maung Myint Than, 34; dan San Win, 32. Turut didakwa, empat awak-awak iaitu Sin Hla Thein, 41; Zaw Myint Oo, 36; Aung Naing Kyaw, 31; dan Tun Hlaing, 26.
Mengikut pertuduhan pertama, semua tertuduh didakwa menggunakan empat vesel penangkapan ikan asing tanpa nombor untuk menceroboh perairan negara.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa menangkap ikan dengan bubu naga yang dilarang oleh Jabatan Perikanan Malaysia.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira 1.9 batu nautika dari Bagan Sungai Burong, Sungai Besar, pukul 9.35 pagi, 31 Julai lalu.
Justeru, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 dan Jadual 5, Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) (Pindaan 2024).
Jika sabit kesalahan, ia masing-masing memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM6 juta bagi tekong atau nakhoda dan RM600,000 bagi setiap kru.
Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Muhammad Hafiz Mohd. Amin dan Herlina Abd Ghani manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 24 Disember depan. – UTUSAN