Keputusan representasi kes Sanusi masih belum diperolehi

Keputusan representasi kes Sanusi masih belum diperolehi

Sanusi
MUHAMMAD Sanusi Md. Nor meninggalkan kamar Mahkamah Tinggi selepas menghadiri prosiding pertuduhan hasutan yang dihadapinya, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan tarikh akhir pengurusan kes bagi pertuduhan yang dihadapi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor pada Disember depan apabila keputusan dua representasi dikemukakan terdahulu masih belum diperolehi.

Hakim Datuk Aslam Zainudin menetapkan tarikh 10 Disember depan sebagai tarikh akhir sebelum menetapkan tarikh perbicaraan berhubung dakwaan hasutan itu atau sebarang arahan lain yang sepatutnya.

Peguam Hasshahari Johari Mawi yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu berkata, keputusan representasi itu masih belum diperolehi daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) serta perkembangan terbaharu untuk dikemukakan kepada mahkamah.

“Hari ini ditetapkan semula tarikh untuk sebutan berkaitan dengan dua pertuduhan yang mana sedia maklum sebelum ini dipertuduhkan dan untuk rekod pada hari ini adalah untuk pihak pendakwa raya dan peguam negara memaklumkan perkembangan kepada mahkamah mengenai dua representasi yang dihantar sebelum ini.

“Jadi, dua representasi itu sebagaimana dimaklumkan sebelum ini semasa pertemuan pihak peguam dengan timbalan pendakwa raya yang hadir, terdapat perkembangan terkini yang kita akan maklumkan kemudian,” katanya ketika ditemui selepas prosiding tersebut, hari ini.

Terdahulu, dalam prosiding tersebut, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd. Daud berkata prosiding lalu mementapkan Rabu untuk sebutan kes bagi keputusan representasi berkenaan.

“Dukacitanya, AGC masih meneliti representasi yang dikemukakan tertuduh. Pendek kata, kami tidak dapat memberikan keputusannya hari ini. Saya mencadangkan mahkamah menetapkan tarikh sebutan baharu untuk keputusan itu serentak dengan penetapan tarikh perbicaraan kes,” jelasnya.

Kemudian, Hasshahari memberitahu, pihak pembelaan mempunyai perkembangan terkini berhubung representasi bagi dua kes pertuduhan yang dihadapi pemimpin Pas itu.

“Mengenangkan ada perkembangan baharu, jadi pihak pembelaan bersetuju dengan tarikh yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan,” ujarnya.

Susulan itu, Hakim Aslam membenarkan pengurusan kes ditangguhkan bagi memberi laluan kepada keputusan dua representasi, namun memutuskan tarikh 10 Disember itu sebagai yang terakhir sebelum perbicaraan ditetapkan.

“Saya harap ini merupakan tarikh akhir ditetapkan, dan keputusannya akan diperoleh,” katanya.

Pada Julai lalu, Muhammad Sanusi melalui peguamnya mengemukakan representasi kali kedua selepas Mahkamah Tinggi dimaklumkan berkenaan penolakan representasi kali pertama oleh AGC bagi menggugurkan dua pertuduhan hasutan dihadapinya.

Peguam ketika itu, Awang Armadajaya Awang Mahmud memaklumkan representasi dikemukakan adalah untuk menyemak semula pertuduhan tersebut termasuk membatalkan pertuduhan terhadap Muhammad Sanusi.

Mengikut kedua-dua pertuduhan itu Muhammad Sanusi, 50, didakwa telah menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pukul 11 malam pada 11 Julai 2023.

Justeru kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN