Empat termasuk tiga remaja culik kanak-kanak dipenjara tiga tahun

Empat termasuk tiga remaja culik kanak-kanak dipenjara tiga tahun

Culik kanak-kanak
EMPAT individu termasuk tiga remaja tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Klang bagi menghadapi pertuduhan culik kanak-kanak berusia 12 tahun, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN /AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Empat penculik termasuk tiga remaja dipenjara selama tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun pada awal bulan lalu.

Tindakan tersebut dilakukan kerana dikatakan berlaku perselisihan antara abang kanak-kanak berkenaan dengan tertuduh.

Tertuduh, Alyaa Zahwa Salim dan Puteri Nurul Suhaila Abdullah masing-masing berusia 18 tahun dan Muhamad Adha Abdullah, 20, serta Muhammad Asran Ghazalie, 23, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atas mereka secara bersama.

Majistret Siti Zubaidah Mahat menetapkan hukuman itu berjalan dari tarikh kesemua tertuduh ditangkap pada 12 Oktober lalu.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama telah menculik kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dari penjaga yang sah dekat Lorong Batu Nilam 1B, Bandar Bukit Tinggi di sini pada pukul 3 petang pada 8 Oktober lalu.

Justeru, mereka dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Berdasarkan fakta kes, kesemua tertuduh membawa mangsa menaiki kereta jenis Perodua Myvi yang disewa ke sebuah rumah di sebuah kampung di Segambut, Kuala Lumpur sebelum ditinggalkan dekat sebuah kediaman.

Mangsa kemudian dihantar pulang ke rumah menggunakan kenderaan e-hailing pada 12 Oktober lalu selepas empat hari dilarikan.

Pada prosiding tersebut, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhamad Saifullah Muhamad Azmi mewakili kesemua tertuduh dalam mitigasinya memberitahu tiga daripada mereka merupakan pesalah muda dan berharap mahkamah menggunakan budi bicara mengenakan bon bagi kesalahan itu.

Tambahnya, selain itu kesemua mereka juga memohon maaf dan insaf serta tahu ia merupakan perbuatan yang serius.

“Tiga daripada mereka datang dari keluarga yang porak peranda iaitu ibu bapa telah bercerai dan tidak tinggal bersama. Punca sebenar bermula daripada insiden perselisihan faham antara tertuduh dan abang mangsa.

“Niat mereka untuk berjumpa dengan abang mangsa dan mengaku membawa budak perempuan itu ke rumah tersebut serta menahannya di sana sementara menunggu abang mangsa datang,” katanya.

Selain itu, Muhamad Saifullah turut memberitahu, tiga daripada mereka masing-masing bekerja sebagai tukang urut dan penjual di kedai rokok elektronik (vape).

“Mereka belum cukup matang untuk berfikir secara rasional terhadap perbuatan dilakukan. Mohon hukuman penjara singkat dari tarikh ditangkap memandangkan umur-umur tertuduh masih mudah,” jelasnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya NurulJannah Aimi membantah alasan tertuduh adalah pesalah muda dan menegaskan kes tersebut tular dan mendapat perhatian umum.

“Jenayah culik adalah jenayah berat dan mangsa berusia 12 tahun. Tindakan melarikan mangsa selama empat hari juga mengakibatkan kecederaan pada mangsa berdasarkan laporan perubatan.

“Harap mahkamah mempertimbangkan juga perasaan ibu bapa mangsa selepas anaknya hilang selama empat hari dan perasaan tidak tenteram itu perlu dipertimbangkan. Ketidakmatangan tidak boleh dijadikan alasan bagi mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun,” tegasnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan hilang selepas turun mengambil bungkusan makanan dalam kereta yang diletakkan di bawah rumahnya dekat Bandar Bukit Tinggi kira-kira pukul 2.30 petang pada 8 Oktober lalu.

Sepanjang tempoh kehilangannya mangsa bukan sahaja dicabul, malah dipercayai cuba dijual kepada sindiket pelacuran di ibu negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya