CEO Encorp dituduh pecah amanah

CEO Encorp dituduh pecah amanah

Encorp
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Encorp Berhad berdepan hukuman penjara 20 tahun apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kerana didakwa melakukan pecah amanah berjumlah RM1.05 juta pada Jun dan September tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Hazurin Harun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.

Berdasarkan pertuduhan, Hazurin, 54, didakwa dengan curang membuat pembayaran sebanyak RM350,000 dan RM700,000 dari akaun bank milik Encorp Construction & Engineering Sdn. Bhd. yang diamanahkan dengan penguasaan ke atasnya kepada LMC Mining Sdn. Bhd. masing-masing bagi penghantaran 20,000 metrik tan mineral Kaolin dari Hulu Kinta dan tempahan 50,000 tan metrik (kapasiti) kapal dagang (MV) dari Pelabuhan Lumut, Perak.

Ia dikatakan untuk dihantar ke Nantong China dan sewaan kapal untuk menghantar pasir silika berkaitan Purchase Order oleh Full Luck Investment Limited.

Sedangkan duit tersebut sepatutnya digunakan untuk pembayaran berkenaan penghantaran Silika Kuarza secara berperingkat dari tapak perlombongan di kinta, Perak.

Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan dikenakan hukuman di bawah seksyen sama iaitu penjara dua hingga 20 tahun, denda dan juga boleh disebat.

Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin menawarkan jaminan sebanyak RM50,000 berserta syarat tambahan iaitu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdekatan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Hakim Mohd. Nasir kemudian menetapkan jaminan pada jumlah tersebut dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan selepas tawaran itu tidak dibantah oleh peguam, Aizul Rohan Anuar yang mewakili Hazurin.

Dalam masa sama, mahkamah turut menetapkan tarikh 7 Januari depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Sebelum ini, Encorp menggantung tugas Hazurin bagi memudahkan siasatan dalaman berkaitan dakwaan yang dibuat SPRM yang sebelum ini mengesahkan penahanan tiga individu termasuk seorang CEO berusia 40 hingga 50 tahun kerana disyaki penyelewengan RM1.5 juta dana milik syarikat tersenarai awam.

Dua daripada mereka termasuk seorang wanita berusia antara 40 hingga 50 tahun direman empat hari sehingga 12 Ogos lalu. Mereka disiasat kerana penyelewengan dalam projek pembinaan dan perlombongan bernilai kira-kira RM80 juta.

Penemuan awal mendakwa penglibatan mereka dalam menubuhkan sebuah syarikat tanpa kebenaran untuk projek RM258 juta dan menggelapkan kira-kira RM3 juta dalam dana sewa hartanah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya