ALOR GAJAH: Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 14 Januari 2025 untuk sebutan semula kes pengasuh wanita yang dituduh membunuh seorang bayi lelaki berusia lapan bulan, September lalu.
Dalam prosiding pengurusan kes tersebut, Majistret Dr. Teoh Shu Yee menetapkan tarikh tersebut kerana belum menerima laporan kimia dan bedah siasat.
Tertuduh yang berusia 34 tahun itu tiba di pekarangan kompleks mahkamah kira-kira pukul 9.40 pagi dengan diiringi anggota polis.
Beberapa individu dipercayai ahli keluarga tertuduh turut hadir bagi mengikuti prosiding berkenaan.
September lalu, Utusan Malaysia melaporkan, tertuduh, Nor Afifah Abdullah Shuhaimi didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas seorang bayi lelaki, Muhammad Al Fateh Amri Mohd. Fikry Amri berusia lapan bulan.
Kesalahan itu dilakukan antara pukul 7.30 pagi dan 8.30 pagi di Taska Pintar Anak Soleha Child Care Center, Taman Kelemak Utama dalam daerah Alor Gajah pada 6 September 2024.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum mati atau dipenjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan jika dijatuhi hukuman mati hendaklah disebat tidak kurang 12 kali mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri sementara tertuduh diwakili peguam Farid Aziz. – UTUSAN