SHAH ALAM: Seorang broker kereta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 10 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM1.35 juta berkaitan pembelian tiga buah kereta mewah, pada 2017.
Bagaimanapun, tertuduh, Amier Amzar Akbarudin mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya secara berasingan.
Berdasarkan kesemua pertuduhan, dia didakwa memindahkan dan melupuskan wang RM1.24 juta dan cek bernilai RM110,000 hasil daripada aktiviti haram antara dua buah akaun bank miliknya dan akaun bank tujuh lelaki berbeza berusia 32 hingga 67.
Kesemua perbuatan itu dilakukan bapa kepada dua anak itu di sebuah cawangan bank di Subang Jaya antara 4 Februari hingga 6 April 2017.
Justeru, Amier Amzar, 34, didakwa melakukan kesalahan dibawah Perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) yang boleh dihukum dibawah subseksyen 4 (1) akta yang sama.
Sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi, bagi setiap pertuduhan.
Dalam prosiding sama, Amier Amzar turut membuat pengakuan tidak bersalah atas tuduhan memperdayakan seorang lelaki berusia 44 tahun sebanyak RM 1.45 juta untuk pembelian tiga buah kenderaan import jenis Porsche 911, Lamborghini Aventador dan Audi dekat Bandar Sunway antara 7 Februari hingga 31 Mac 2017.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan
Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Afendi dan Aida Khairuleen kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM40,000 bagi setiap pertuduhan dibawah AMLA sementara RM50,000 bagi pertuduhan penipuan, bersama seorang penjamin.
Pendakwaan turut mencadangkan tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis terdekat pada setiap awal sebulan.
Bagaimanapun, peguam S. Sathya yang mewakili Amier Amzar memohon jaminan keseluruhan bagi kesemua 11 pertuduhan dihadapi anaknya guamnya sebanyak RM100,000 atas alasan sebagai penanggung tunggal keluarga termasuk isteri dan dua anak anaknya berusia sebulan hingga tiga tahun.
“Tertuduh hanya bekerja sebagai broker kereta dengan pendapatan purata RM4,000 dan memberikan kepada ibu bapanya RM600 sebulan. Akaun bank anak guam dan isteri serta ibu bapanya dibekukan.
“Pasport anak guam juga sudah luput pada Februari lalu dan tiada risiko melarikan diri. Kami juga tiada bantahan bagi melaporkan diri di balai polis tersebut,” katanya.
Kemudian, Hakim Muhammad Anas Mahadzir menetapkan jaminan keseluruhan RM225,000 dengan seorang penjamin dan tidak boleh mengganggu saksi selain membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan sebutan semula kes ditetapkan 14 Januari tahun depan. – UTUSAN