KLANG: Seorang pengikut Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) berdepan hukuman penjara seumur hidup apabila dituduh memperdagangkan 10 kanak-kanak dekat sebuah pusat jagaan, pada 11 September lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Asmat @ Asmanira Muhamad Ramly mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibaca secara berasingan di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.
“Saya faham. Saya mengaku tidak bersalah,” katanya.
Berdasarkan pertuduhan, wanita berusia 44 tahun itu didakwa memperdagangkan 10 orang kanak-kanak berusia lapan tahun bagi maksud eksploitasi aktiviti menyalahi undang-undang iaitu kesalahan di bawah Seksyen 415 Kanun Keseksaan.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan dekat Pusat Jagaan Cahaya Kasih Bestari di Kampung Melayu Subang, Shah Alam pada 11 September 2024.
Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara seumur hidup dan sebatan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Anisah Pisol tidak menawarkan sebarang jaminan atas faktor kesalahan dan tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
“Mohon kesemua kes dibicarakan bersama (di Mahkamah Sesyen Klang) kerana melibatkan seorang tertuduh pada tempat dan masa yang sama. Tiada jaminan ditawarkan kerana kesalahan melibatkan hukuman penjara seumur hidup dan tertuduh ditahan di bawah SOSMA seperti diputuskan oleh mahkamah Selayang,” katanya.
Hakim Zulqarnain Hassan kemudian membenarkan kes dibicara bersama.
Sementara itu seorang lagi pengikut GISBH, wanita berusia 54 tahun yang turut ditahan di bawah SOSMA membuat pengakuan sama di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abd. Rasid atas kesalahan mengambil bahagian dalam pengurusan pusat jagaan tidak berdaftar pada 11 September lalu.
Kesalahan tersebut dilakukan pada pukul 6.30 pagi dekat Bandar Bukit Raja, di sini, justeru dia dituduh di bawah Seksyen 5(1) Akta Jagaan Kanak-Kanak dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(2) akta sama.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan denda sehingga RM10,000, penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya dan tambahan denda harian sehingga RM1,000 bagi kesalahan berterusan.
Kedua-dua mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula pada 13 Disember depan bagi serahan dokumen.
Prosiding masing-masing dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asnisah serta Nur Sabrina Zubairi dan Nur Nadia Syuhada Rosli dan kedua-dua tertuduh diwakili Peguam Mohd. Zaim Rosli. – UTUSAN