Tidak kenal Altantuya, tidak pernah berjumpa dengannya - Najib

Tidak kenal Altantuya, tidak pernah berjumpa dengannya – Najib

Altantuya
NAJIB Tun Razak dikawal ketat ketika menghadiri prosiding perbicaraan saman sivil di Mahkamah Tinggi, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, bahawa beliau langsung tidak mengenali wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Perkara itu dinyatakan bekas Ahli Parlimen Pekan berkenaan ketika prosiding perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Khadijah Idris.

Najib berkata, beliau tidak bersalah atas jenayah kejam dengan Altantuya ditembak mati sebelum mayatnya diletupkan di kawasan terpencil berdekatan Empangan Subang di Puncak Alam pada 2006.

“Saya tidak pernah mengarahkan bekas anggota polis Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar untuk membunuh wanita berkenaan.

“Saya tidak mengenalinya langsung. Saya tidak pernah berjumpa dengannya dan saya tidak bersalah atas jenayah kejam itu,” katanya pada keterangan saksi.

Najib sebelum ini menyaman bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas mengenai memoirnya bertajuk My Story: Justice In The Wilderness mengenai kenyataan fitnah yang dibuat dalam buku yang didakwa mengaitkannya dalam pembunuhan Altantuya Shaariibuu dalam bab 42.

Beliau turut menamakan syarikat penerbitan buku GB Gerak Budaya Enterprise Sdn Bhd. Thomas dan syarikat penerbit buku itu diwakili peguam Alan Adrian Gomez dan Datuk Ambiga Sreenevasan.

Pada prosiding itu, Najib menegaskan Thomas tidak pernah menunjukkan kepadanya kandungan bab 42 sebelum ia diterbitkan dalam buku berkenaan.

“Adalah tidak benar bahawa dirinya kononnya mendalangi pembunuhan Altantuya walaupun terdapat banyak artikel yang digunakan oleh Thomas dan Gerakan Budaya untuk mengaitkannya dengan jenayah itu,” jelasnya.

Untuk rekod, Najib sebelum ini pernah membuat sumpah laknat di Masjid Jamek Kampung Baru pada 2019 menafikan dakwaan Azilah Hadri berhubung pembabitan beliau dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Dalam pada itu, Najib menyatakan mengenali Datuk Abdul Razak Baginda sebagai penganalisis pertahanan dan terlibat dalam perjanjian membeli kapal selam.

“Saya hanya mendapat tahu daripada laporan media bahawa Razak Baginda kononnya adalah seorang jurubahasa.

“Saya tidak tahu apa hubungan Razak Baginda dan Altantuya. Namun, saya tahu akhirnya mereka mempunyai hubungan yang romantis,” katanya.

Prosiding perbicaraan itu akan bersambung semula pada 30 Jun tahun depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya