Pertuduhan tiga anak lelaki bekas pemimpin Al Arqam ditangguh

Pertuduhan tiga anak lelaki bekas pemimpin Al Arqam ditangguh

TIGA OYDS yang juga anak lelaki Abuya hadir ke prosiding pertuduhan di Mahkamah Tinggi Syariah, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini menangguhkan prosiding pertuduhan terhadap tiga anak lelaki pengasas al-Arqam, Ashaari Muhammad ke tarikh baharu pada 19 Disember ini.

Hakim Syarie Mohd. Yunus Mohamad Zin membenarkan penangguhan itu selepas dipohon Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Melaka, Atras Mohamad Zin.

Turut menyertai barisan pendakwaan ialah Norazita Mohd. Ali, Marina Muhammad dan Ahmad Faizul Ashar.

Tiga anak lelaki Ashaari masing-masing berumur 38, 42 dan 45 tahun bakal berdepan pertuduhan mempermainkan ayat al-Quran atau hadis dan menghina agama Islam, bulan lalu.

Atras dalam hujahnya berkata, terdapat tujuh lagi orang yang disyaki (OYDS) masih direman dan disiasat mengikut Seksyen 91 dibaca bersama Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.

Katanya, penangguhan tersebut untuk membolehkan kesemua 10 OYDS dituduh pada tarikh sama.

“Pada dasarnya, pendakwaan telahpun memfailkan ketiga-tiga tertuduh dengan pertuduhan-pertuduhan di bawah Seksyen 91 dibaca bersama Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 pada hari ini.

“Memandangkan terdapat tujuh lagi OYDS yang kami yakin amat berkait dengan kes ini, kami mohon penangguhan pertuduhan ketiga-tiga OYDS untuk disekalikan bersama tujuh OYDS lain,” katanya.

Peguam Syarie Mohd. Hafizuddin Ahmad Mispha dan Mohd. Faizal Mohamad yang mewakili kesemua tertuduh tidak membantah permohonan pendakwaan.

Mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan dan mengarahkan setiap tertuduh dikenakan jaminan RM3,000 atau dua penjamin serta menetapkan 19 Disember ini sebagai tarikh pertuduhan baharu.

Pada 21 September lalu, Utusan Malaysia melaporkan, Op Global yang dijalankan ke atas 19 premis berkaitan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di sekitar Melaka berjaya menyita sebanyak 285 barang kes antaranya 12 keping gambar Ashaari.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, pihak berkuasa turut merampas 138 buku berkaitan al-Arqam yang telah diharamkan oleh Fatwa Negeri Melaka termasuk Aurad Muhammadiyah.

Ujarnya, selain itu sekeping jadual zikir Aurad Muhammadiyah, sebuah diari catatan tentang ajaran al-Arqam dan 33 unit cakera padat berkaitan al-Arqam turut ditemukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN