MELAKA: Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan tirinya berusia 12 tahun.
Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 39 tahun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan tirinya yang berusia 12 tahun di sebuah rumah bernombor di Felda Bukit Senggeh dalam daerah Jasin antara pukul 10.30 malam dan 11 malam, pada 26 September 2024.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat dan sebagai tambahan hendaklah dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan hendaklah juga dihukum minimum dua sebatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Syazwanie Marizan tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa dan memohon tarikh baharu untuk serahan laporan perubatan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dengan alasan dirinya pencari nafkah tunggal yang menanggung isteri dan tiga anak masih kecil.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 14 November ini untuk serahan dokumen serta melantik peguam. – UTUSAN