SHAH ALAM: Seorang pegawai kanan syarikat penerbangan negara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, hari ini atas pertuduhan gagal melapor suapan sebanyak RM1,000, pada 9 November tahun lalu.
Pengakuan itu dibuat Mohd. Razif Hasan selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya dalam prosiding tersebut, hari ini.
Berdasarkan pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa menerima suapan melalui pemindahan wang secara dalam talian daripada seorang lelaki merupakan pemilik sebuah syarikat dengan tujuan mempercepat urusan entiti berkenaan dengan Malaysia Airlines Group Berhad (MAB).
Kesalahan tersebut dilakukan dekat sebuah cawangan bank di Bandar Tun Hussein, Cheras. Justeru, dia didakwa gagal melaporkan penyogokan kepada pihak SPRM.
Oleh demikian, Mohd. Razif, 35, dituduh di bawah Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang mana sabit kesalahan boleh dihukum di bawah seksyen 25(2) Akta yang sama iaitu denda sehingga RM100,000, penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Pegawai Pendakwa Raya, Mohd. Yasri Yahaya mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM2,000 dan syarat tambahan kepada tertuduh iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di Pejabat SPRM berdekatan pada setiap awal bulan dan larangan mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Sementara itu Peguam, Shahidah Muslimah Roslan yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan yang minimum kerana anak guam merupakan penanggung tunggal keluarganya.
“Tertuduh sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak berusia tiga dan tujuh tahun, isteri tidak bekerja. Tertuduh menerima gaji bulanan sebanyak RM3,200 dan mempunyai lebihan kira-kira RM1,000 selepas tolak perbelanjaan tanggungan,” katanya.
Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin kemudian memutuskan jumlah jaminan sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin serta pematuhan terhadap syarat tambahan.
Beliau kemudian menetapkan sebutan semula pada 29 November ini. – UTUSAN